[VIDEO] “Tak boleh letak Mael Totey sebagai benchmark untuk karya kreatif yang sempurna”

Kejayaan filem Mael Totey The Movie arahan Syahmi Sazli telah berjaya meraih kutipan melebihi RM5 juta.

Menerusi satu temubual yang dikongsikan oleh mStar, pengarah dan juga penerbit Ellie Suriati memberitahu kejayaan filem Mael Totey tidak boleh dijadikan penanda aras untuk sesebuah karya kreatif.

Filem itu belum mencapai tahap teknikal sesebuah penerbitan filem

Menurut pengarah itu lagi, filem tersebut masih belum mencapai tahap teknikal sesebuah penerbitan filem.

“Mael Totey ada follower yang ramai, berjuta tetapi dalam industri kita ada banyak genre filem”.

Kita tidak boleh meletakkan Mael Totey sebagai benchmark 

Filem Mael Totey The Movie turut menampilkan gadingan istimewa mereka, Asif Suhaimi dan juga Yoe Parey.

Ellie Suriati turut mengulas lanjut pandangan beliau mengenai sentuhan filem pertama pengaruh muda Syahmi Sazli itu.

“Kita tidak boleh meletakkan Mael Totey itu sebagai benchmark untuk karya kreatif yang sempurna” ulasnya lagi kepada mStar.

Ia tidak mencapai tetapi oleh kerana punyai peminat sendiri dia berjaya

“Kalau kita nak sebut daripada teknikal sebagai pembikin filem, ia tidak mencapai tetapi oleh kerana ia popular dan mempunyai peminat tersendiri sudah tentu dia berjaya, ” ujar beliau.

Terdahulu menerusi laporan Malaysiakini, pengarah ini mencadangkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melakukan penambahbaikan terhadap Akta Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (Finas) 1981 selaras dengan perkembangan teknologi hari ini.

Lesen untuk pemilik saluran Youtube

Beliau yang juga Presiden Gabungan Anak Seni itu berkata, antara penambahbaikan perlu disegerakan ialah mengenakan lesen untuk pemilik saluran YouTube kerana golongan tersebut menjana pendapatan lumayan daripada platform berkenaan.

“Sebagai pemain industri kami nak utarakan pendapat sebab ini platform anak seni sebelum sebarang penambahbaikan dilaksana kerajaan”.

Jelas Ellie lagi, jika Youtuber tidak dikenakan lesen tersebut, ada dalam kalangan saluran pemilik YouTube akan mengambil kesempatan mengaut keuntungan peribadi.

Terdapat saluran Youtube jejaskan jumlah kutipan tayangan

Apa yang paling dikesali pengarah ini, terdapat pemilik saluran YouTube yang menggunakan kemudahan itu untuk mengkritik filem tempatan hingga menjejaskan jumlah kutipan tayangan.

“Ia mengakibatkan kerugian besar kepada penerbit, pengarah dan juga kru produksi kerana tiada orang mahu menonton filem kami selepas ia digelar produk sampah”.

“Industri kita bukan macam Hollywood, 10 peratus saja penggiat filem yang kaya dan selebihnya kategori B40,” katanya.