“Tak tonton lagi, tapi dah buat laporan polis!” Namewee Pertahan Filem BABI Angkat Perpaduan Malaysia

Pengarah dan pelakon konroversi, Namewee hari ini tampil mempertahankan filemnya menerusi sebuah hantaran di Facebook.

Menerusi perkongsian tersebut, Namewee berkata karya garapannya mempromosikan semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Namun Namewee kesal apabila ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan dan menggunakan isu perkauman demi kepentingan politik masing-masing.

Menurut Namewee lagi, filem ‘Babi’ tidak akan dikeluarkan di Malaysia meskipun telah diiktiraf dan menerima pencalonan di festival filem antarabangsa di empat negara yang berbeza.

“Filem [Babi] adalah filem yang mempromosikan semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dan telah mendapat pencalonan oleh festival filem antarabangsa di empat buah negara.

“Malangnya, Terdapat ramai pelawak di Malaysia yang suka melibatkan isu politik dan perkauman ke dalam karya ini.

“Mereka tidak menonton filem tersebut dan sama sekali tidak mengetahui isu kandungan, moral, serta mesej yang ingin disampaikan dalam filem tersebut, tetapi mereka membuat komen dengan membuta-tuli tanpa fakta bahkan membuat laporan polis.

“Orang-orang ini adalah EKSTREMIS sejati. Mereka penuh dengan rasa cemburu, dengki, isu perkauman dan hati yang jahat.

“Dan lebih sayang sekali terdapat sebilangan individu yang termakan oleh taktik mereka serta dipergunakan oleh mereka.

“Saya merasa sangat sedih. Walau apa pun, tahniah kepada Malaysia kerana filem ini adalah kebanggaan Malaysia! Kami akhirnya berada di pentas antarabangsa! Malaysia Boleh!”

Dalam pada itu Namewee turut menjelaskan ketika penggambaran filem tersebut, para pelakon dan krew berbilang kaum bekerja dalam keadaan harmoni.

“Semasa penggambaran filem ini, para pelakon dan krew dari setiap kaum bekerjasama bersama untuk menghasilkan karya ini.

“Inilah yang mencerminkan semangat dan perpaduan rakyat Malaysia yang sebenarnya,” ujarnya.

‘Babi’ telah tercalon dalam empat festival filem antarabangsa, iaitu Open World Toronto Film Festival (kategori pengarah terbaik dan pelakon terbaik), Around International Film Festival Berlin (Best Feature Film), International Thai Film Festival 2020 dan Taipei Golden Horse Film Festival (Best Original Film Song).

“Kali ini kita telah berjaya menempah nama di pentas antarabangsa. Ini adalah kebanggaan kita sebagai anak Malaysia! Malaysia BOLEH!!!,” tulisnya.

Filem yang mengisahkan tentang kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia pada tahun 2000 ini bakal ditayangkan di Taiwan mulai 20 November (hari ini).

Terdahulu, Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan membuat laporan polis terhadap Namewee, berkenaan poster filem terbarunya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.

Laporan polis itu dibuat Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan Mohammad Azwan Azmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi ini, bersama lapan wakil pemuda PN Wilayah Persekutuan.

Azwan berkata laporan polis dibuat kerana poster filem bertajuk ‘BABI’ itu mengandungi perkataan ‘Melayu Bodoh’, ‘India Keling’ dan ‘Cina Babi’.

Namun begitu, beliau yang merupakan bekas wartawan hiburan di sebuah stesen televisyen tempatan mengakui masih belum menonton filem tersebut.

“Walaupun belum lagi menonton filem tersebut tetapi sebagai seorang yang berkecimpung selama 14 tahun dalam industri hiburan dan media, saya faham apa yang cuba ditonjol olehnya.”

“Maka laporan saya berkenaan poster dahulu kerana ini secara jelas dan nyata adalah satu penghinaan dan provokasi terhadap orang melayu,” ulasnya.

Rata-rata netizen memberikan pandangan yang pelbagai mengenai isu ini kerana masih ramai yang belum menontonnya dan tidak tahu apakah kandungan sebenar di dalam filem ini.