“Tak sangka dulu 2016 mi start buat video dengan fon..” Syahmi Sazli Kongsi Poster Rasmi Filem Mael Totey

Youtuber terkenal dari Kelantan, Syahmi Sazli telah berkongsi poster rasmi untuk filem pertama arahannya, Mael Totey.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Syahmi meluahkan rasa syukur dan berkongsi tarikh tayangan filem tersebut.

Menurut Syahmi, beliau mula menghasilkan video pada tahun 2016 dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Kini, karya miliknya akan ditayangkan di seluruh Malaysia menerusi Astro First pada 22 Oktober 2020.

“Ini lah dia Poster Rasmi Mael Totey The Movie! Alhamdulillah, tak sangka dulu 2016 mi start buat video dengan fon dan 22 Oktober 2020 nanti karya mi akan ditayangkan di Astro First.

“Mi nk mintak tlg share post ni satu sorang, supaya ramai lagi tahu yg filem pertama mi ni akan keluar seminggu lagi”

Difahamkan filem Mael Totey ini akan mengangkat watak dalam drama pendek yang menjadi sensasi ramai di laman YouTube.

Menerusi perkongsian poster itu juga, antara barisan pelakon yang membintangi filem Mael Totey adalah Syahmi sendiri bersama Emaleen Minhad, Wanie Rohaimie, Anissa Faizul serta dua bintang utama Yoe Parey dan Asif Suhaimi.

Rata-rata peminat Syahmi Sazli tak sabar menantikan kemunculan filem tersebut .

Maksud Mael Totey

Biarpun sudah bertahun-tahun Syahmi menggunakan istilah ‘totey’ di dalam video di laman Youtube, masih ramai peminat khususnya di luar Kelantan yang tidak memahami perkataan tersebut.

Menjawab persoalan ini, bekas finalis program Pencarian Dewi Remaja 2018/2019, Aween Ismail tampil mendedahkan makna sebenar di sebalik perkataan ‘Totey’ yang digunakan dalam judul filem sulung arahan youtuber popular, Syahmi Sazli.

Menurut Aween, perkataan berkenaan sebenarnya hanyalah sekadar gelaran yang digunakan bagi merujuk kepada mana-mana individu.

“Ramai juga yang ingin tahu apa yang dimaksudkan Totey dalam tajuk cerita ni. Ia sebenarnya adalah gelaran bagi orang Kelantan.

“Di mana kalau namanya Ismail, Totey tu macam satu gelaran bagi mereka sahaja,” katanya menerusi laporan Remaja.

Menerusi perkongsian di Facebook Najmi Farisham, beliau turut menjelaskan bagaimana perkataan ‘totey’ itu digunakan sebenarnya.

“Totey ini bukan kemaluan lelaki ya tuan puan. Orang Kelantan guna gelaran Totey ini sebagai panggilan untuk sesiapa yang bernama Mael. Asal nama Mael ja, biasanya orang kampung akan panggil Mael Totey. Ha begitu.

“Kalau KL ada Mael Lambong, kami di Kelantan ada Mael Totey. Cara sebutnya memang payahlah aku nak jelaskan melalui tulisan.

“Kena ada sengau dan lenggoknya sekali, barulah orang tak salah dengar nanti. Nak mudah, tanyalah kawan Kelantan kalian bagaimana sebutannya.

“Sebutan Totey tak sama tau dengan *ote. Jangan salah faham ya. Dan orang Kelate tak panggil *ote itu *ote. Aduh, malunya nak tulis benda gini. Tapi yelah, nak kasi orang faham.

“Yang pasti, perkataan Totey ini tiada maksud. Ia memberikan gambaran luc*h? Jauhlah sekali. Ia cuma satu perkataan berangkai yang sering digunakan orang kampung bila ada nama Mael. Itu sahaja.

“Mael apa, murid-murid?”

“Mael Totey, cikgu.”