[VIDEO] Pengacara Terkenal Dari Britain Puji Cara Malaysia Kendali Covid-19

Dalam menangani wabak Covid-19, sesiapa sahaja yang datang daripada luar negara wajib menjalani kuarantin di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan kerajaan.

Ianya penting dalam usaha mengawal penularan wabak yang telah tersebar dengan meluas di seluruh dunia ini.

Dalam usaha ini, nama Malaysia telah mendapat perhatian di kebanyakan negara selepas tindakan yang dilakukan untuk memutuskan rantaian COVID-19 dilihat sebagai satu strategi yang berkesan.

Menerusi satu perkongsian oleh akaun Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkara tersebut dapat dibuktikan menerusi satu video yang dibuat oleh seorang pengacara televisyen dan Youtuber terkenal dari Britain berkenaan cara Malaysia mengendalikan wabak ini.

VIDEO PILIHAN: YOUTUBER MARK O’DEA PUJI CARA MALAYSIA TANGANI COVID-19

Seorang ‘Mat Salleh’ yang merupakan pengacara televisyen dan Youtuber terkenal dari Britain, Mark O’Dea memuji cara Malaysia mengendalikan pandemik COVID-19 dalam videonya, baru-baru ini.

Beliau yang telah bermastautin di Malaysia sejak tahun 2012, berkongsi pengalaman dikuarantin di sebuah hotel sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas pulang dari negara kelahirannya.

Beliau nyata kagum dengan tindakan tegas yang dimainkan oleh setiap agensi terlibat dan menyatakan penjarakan sosial, imbasan suhu badan mahupun prosedur keselamatan tidak dipraktikkan di Lapangan Terbang Heathrow, London.

Menurut Mark lagi, kerana itulah (menitik beratkan hal kesihatan dan keselamatan) menjadikan Malaysia antara negara yang berjaya menangani kes COVID-19 dengan baik sekali.

Beliau turut menyebut bahawa antara perkara ‘cool’ dalam pengalamannya adalah diiring oleh pihak polis ke lokasi hotel.