Siap Bantuan Makanan Percuma, Ebit Lew Buka 10 Pasaraya Bulan Julai

Siapa yang tidak kenal dengan pendakwah terkenal, ustaz Ebit Lew yang sering membuat kerja amal di seluruh Malaysia.

Terbaru, menerusi muat naik di Facebook, Ebit Lew berkongsi perkembangan terkini mengenai 10 cawangan pasar raya miliknya iaitu Elews Mart yang sedang diubahsuai.

Ebit memberitahu bahawa semua cawangan pasar raya itu akan dibuka di sekitar Lembah Klang pada pertengahan Julai ini.

Pendakwah berusia 36 tahun itu memberitahu beliau terharu apabila mendapat sokongan pihak pengilang dan pengedar produk barangan yang bersama-sama menjayakan hasrat bagi pembukaan pasar raya tersebut.

“Doakan yer untuk 10 cawangan Elews Mart di sekitar Lembah Klang dibuka tengah Julai 2020. Semua sedang di renovate. Terima kasih Nestle berkongsi ilmu sistem warehouse untuk dipraktikkan di warehouse kami nanti.

“Baik-baik boss Nestle semuanya berkongsi ilmu. Sebak rasa dengan layanan dan bantuan semua. Semoga diberkati dan dimudahkan semuanya.

“Syukur hampir semua pengilang dan distributor support ElewsMart. Terharu semua nak bantu dan bersama dengan ElewsMart.

“Kita akan dapat berikan harga paling murah insyaAllah. Dan food bank akan ada di setiap cawangan untuk yang memerlukan. Doakan yer. Ini kerana doa tuan puan semua,”

Perkongsian tersebut telah menerima lebih 16,000 tanda suka dan ratusan perkongsian serta komen netizen yang rata-rata bersyukur atas amalan murni beliau dalam membantu meringankan beban rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.