Gara-gara Anjur Majlis Hari Jadi Anak Dalam Tempoh Kuarantin, 17 Tetamu Dilaporkan Dijangkiti COVID-19 di India

Hanya kerana degil tidak mematuhi SOP, seramai 17 orang dipercayai dijangkiti Covid-19 selepas menghadiri parti hari jadi di rumah seorang wanita yang menjalani kuarantin.

Menerusi laporan India Times, kejadian yang dipercayai berlaku di Jharsuguda, Odisha itu bermula apabila wanita tersebut dikatakan baru sahaja pulang dari Gurugram pada 6 Jun yang lalu bersama suami dan anak-anaknya.

Mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Odisha.

Pun begitu, wanita tersebut yang tinggal di rumah bapa saudaranya tetap meraikan hari jadi anak lelakinya dan menjemput jiran-jirannya ke rumah.

Memetik laporan Indiatimes, wanita itu disahkan positif Covid-19 pada 15 Jun lalu. Memeriksa kenalan utamanya, pihak berkuasa terkejut apabila mengetahui bahawa jiran-jiran yang telah menghadiri parti hari jadinya juga turut menghadiri satu pesta ulang tahun perkahwinan di daerah itu.

Sehingga kini, seramai 17 orang yang terlibat dengan sambutan ulang tahun itu telah dikesan positif Covid-19.