Kewujudan makhluk halus di sekeliling kita tidak boleh disangkalkan kerana ‘mereka’ ini juga merupakan ciptaan Allah.

Kadangkala mereka ini juga dikatakan berupaya menjelma dalam satu bentuk yang sangat menyeramkan.

Tidak dinafikan budak kecil memang akan ada yang hijabnya terbuka. Sama seperti kisah yang tular baru baru ini.

Menurut perkongsian seorang wanita yang dikenali sebagai Shaziefa Muhammad ini di TikTok, dia memuat naik video memaparkan gelagat anak kecilnya yang galak ketawa seperti sedang diagah.

Apa yang lebih menyeramkan, anak kecilnya itu memandang tepat ke arah pintu bilik tidur sambil ketawa, sedangkan hakikatnya di sudut tersebut tiada sesiapa, yang ada hanyalah telekung yang tergantung.

“Ada sesiapa boleh nampak tak dia tengok siapa? Macam ada someone agah dia. Ibu dah seriau ni dik,” tulisnya pada perkongsian tersebut.

Video tersebut mendapat perhatian ramai dan ehingga kini video berkenaan meraih lebih 350,000 jumlah tontonan.

Namun pun begitu, ada sebilangan netizen mendakwa anak kecil wanita tersebut diagah oleh seorang ‘wanita tua’.

“Saya nampak orang tua wanita sedang agah. Jangan biar lama-lama ya.

“Orang tua dok agah budak tu. Minta pagar rumah empat penjuru, baca selawat tiga kali, ayat tiga Qul dan ayat Kursi,” demikian antara komen netizen pada perkongsian tersebut.

Mengulas lanjut, insiden tersebut dirakam pada minggu lalu ketika dia baru selesai menukar lampin pakai buang anak kecilnya yang berusia setahun dua bulan.

“Ketika itu lebih kurang pukul 12.30 malam. Selepas selesai tukar lampin anak, saya nak tidurkannya semula. Masa itu dia pusing-pusing dan tiba-tiba galak ketawa.

“Dia seakan-akan fokus dekat pintu. Timbul rasa pelik sebab memang tiada siapa di luar.

“Saya cepat-cepat ambil telefon dan rakam sekejap, tujuannya nak simpan untuk rujukan kepada orang yang arif pasal ni… takut-takut ada yang tak kena.

“Suami dekat luar pula ingat saya geletek baby padahal saya tak geletek pun. Lepas rakam beberapa saat, terus saya ambil bayi dan bawa keluar dari bilik sebab saya pun rasa lain macam,” ujarnya seperti dilaporkan mStar.

Menurut wanita berusia 32 tahun ini, selepas insiden ‘aneh’ tersebut, anak keduanya itu merengek sepanjang malam dan sukar untuk melelapkan mata.

“Sampai subuh barulah dia reda merengek dan tidur. Dengan saya sekali tak tidur malam tu. Ketika itu lidahnya luka sikit… saya tak pasti dia merengek sebab tu atau kerana insiden ‘aneh’ malam tu.

“Ibu mentua saya ada rujuk kepada seorang ustazah dan dia cadangkan supaya jangan lupa baca doa serta ayat-ayat Al-Quran serta pasangkan sentiasa bacaan Al-Quran di rumah.

“Jujurnya bila baca komen netizen, saya pun rasa seram sejuk sampailah sekarang. Itulah tujuan saya rekod, sebab nak minta pandangan mereka yang arif.

“Tapi ada kecam kononnya saya tak cepat-cepat alihkan baby dari situ.”

Video tular di Tiktok

@shaz_iefa##shaziefa ##seram ##fypシ ##fypage

♬ original sound – 🌸 Gee 🌸

“Sebenarnya saya rekod kejap saja untuk tujuan rujukan kepada pihak yang arif. Selepas ini memang saya dan suami bercadang untuk berubat cara perubatan Islam. Buat masa sekarang kami pasang bacaan Al-Quran sepanjang hari,” ujarnya yang menetap di Rawang, Selangor.

“Ramai sangat yang share macam-macam… saya terharu dan ucapkan terima kasih banyak-banyak. Mungkin ada yang tak percaya benda-benda seperti ini, tapi jangan ambil mudah.

“Sekarang mungkin tak terkena pada batang hidung sendiri. Buat mereka yang ada anak kecil, ambil iktibar dan peringatan. Jangan biar anak sorang-sorang, elakkan keluar waktu senja dan jangan lupa baca ayat suci Al-Quran,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, ibu kepada dua anak ini berkata dia sangat terharu kerana menerima komen positif yang berkongsi tip, doa dan petua untuk mengelakkan kejadian sama berulang.