[VIDEO] Ibu Hamil Rela Pertaruh Nyawa Jadi Pelindung Anak Ketika Tembakkan Dilepaskan Dalam Restoran

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah kekal selamanya. Begitulah pepatah yang paling sesuai dengan pengorbanan seorang ibu yang hamil ini di mana dia telah bertindak menjadikan dirinya sebagai pelindung untuk anaknya ketika seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan dalam sebuah kedai makan.

Kejadian itu berlaku di bandar Daerah Persekutuan Recanto das Emas, Brazil pada malam Ahad ketika wanita berkenaan sedang makan bersama suami serta rakannya selepas menghadiri upacara di sebuah gereja tempatan, lapor Daily Mail.

Menerusi rakaman video CCTV, ia memaparkan dua individu melangkah masuk ke restoran berkenaan sebelum salah seorang daripada mereka cuba dihalang oleh beberapa pengunjung daripada meninggalkan kedai itu.

Ianya bermula apabila mereka memberitahu untuk merompak kedai tersebut dan mengambil barang-barang pelanggan.

Namun salah seorang pelanggan lelaki meluru ke arah rakan lelaki bersenjata itu dan cuba untuk menjatuhkannya ke tanah.

Tiada pilihan lain, perompak itu telah mengacukan senjatanya ke arah mereka dan pelanggan yang berani itu akhirnya berserah dan mengundur diri sambil mengangkat kedua tangannya.

Lelaki bersenjata itu kemudiannya melepaskan tembakan ke arahnya namun mujur tembakan itu tersasar.

Menerusi klip video itu juga dapat dilihat wanita hamil itu terus merebahkan anaknya ke lantai dan memeluknya ketika rakan lelaki bersenjata itu meluru ke kawasan tempat duduknya dan mengambil telefon bimbit seterusnya melarikan diri.

Di dalam temubual dengan agensi berita Brazil, wanita yang mengandung enam bulan itu memberitahu bahawa dia pada awalnya telah bertindak melindungi nyawa anak lelakinya yang berusia 4 tahun itu kerana mendapati bahawa kedua-dua suspek ‘berurusan’ dengan salah seorang pelanggan di kedai berkenaan.

“Ianya adalah detik yang menakutkan. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah kita jangkakan akan berlaku,” kata wanita berkenaan.

Dalam pada itu, pihak berkuasa dilaporkan berjaya mengesan salah satu telefon bimbit yang dirompak itu selepas ianya ditinggalkan di kawasan semak berhampiran dan dikesan oleh pemiliknya.

Walau bagaimanapun, pihak polis masih belum berjaya mengesan dan menangkap kesemua peromapak itu.