[VIDEO] Hubungan Pemandu Vios Dan SUV Yang Jatuh Dalam Laut Didedahkan

Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, semalam, didapati positif ganja, lapor BHarian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata keputusan itu diketahui selepas ujian saringan awal dilakukan terhadapnya.

Menurutnya, polis juga sudah mengambil sampel darah mangsa untuk mengetahui kandungan alkohol dalam badannya.

“Pemandu Toyota Vios berkenaan kini masih mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta kerana mengalami kecederaan di kepala, kaki dan tangan.

“Sebelum ini, dia dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan dibenarkan pulang namun pengsan ketika berada di rumah dan dikejarkan ke hospital swasta,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi semalam, dua kenderaan masing-masing Toyota Vios hitam dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) putih terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menuju ke Perai.

Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun dan bekerja sebagai pendandan rambut cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala SUV putih itu pula berpusing beberapa kali sebelum terjunam dalam laut.

Identiti pemandu SUV itu dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20, selepas bapanya membuat laporan polis jam 5 petang, semalam kerana anaknya yang juga penuntut sebuah kolej swasta itu masih tidak pulang.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, pemandu Toyota Vios dan SUV itu adalah rakan sejak di bangku sekolah dan mereka dalam perjalanan pulang selepas menyambut parti hari jadi di sebuah kelab di Lebuh, Chulia, Georgetown.

“Mereka berdua bersama lima lagi rakan baru selesai menyambut hari jadi dan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di seberang. Lima lagi rakan mereka pula tinggal di bahagian pulau,” katanya.

Menurutnya, polis juga sedang menyiasat sama ada mereka berlumba atau sebaliknya.

Dalam pada itu, pasukan penyelamat masih meneruskan operasi pencarian bagi mengesan lokasi kereta yang terjunam ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang.

Jurucakap bomba berkata, maklumat awal yang diperolehi, kereta yang terjatuh itu jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih.

Menurutnya, buku manual yang dijumpai dalam pencarian itu belum dipastikan sama ada ia milik kenderaan tersebut atau sebaliknya.

“Pada masa ini, bomba yang dibantu polis marin sedang mencari di sekitar Kilometer 4.0 dengan radius 50 kaki.

“Dan kesukaran yang dihadapi pada masa ini adalah arus deras,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi tadi, sebuah kereta terjunam ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jambatan Pulau Pinang.

Kemalangan itu berlaku dari arah pulau menghala ke seberang pada jam 2.45 pagi tadi.

Menurut bomba, dua buah kenderaan terlibat yang mana, sebuah kereta Toyota Vios remuk dan pemandunya yang berusia 20-an cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Maklumat dari orang awam mengatakan, ada sebuah kereta lain telah terjunam ke dalam laut dan usaha pencarian masih diteruskan sehingga kini.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Perai Azlan Hassan berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.54 pagi memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan dua buah kenderaan dan sebuah daripadanya telah terhumban ke dalam laut.

Beliau berkata sepasukan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Perai yang tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dan pemandunya berusia 20-an mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan berkenaan.

“Sebuah lagi kereta yang terlibat dalam kemalangan itu telah terjatuh ke dalam laut namun pihak kami masih belum dapat memastikan jenis kenderaan dan status mangsa di dalam kereta tersebut,” katanya di sini hari ini.

Azlan berkata operasi mencari dan menyelamat kenderaan serta mangsa yang terjatuh ke dalam laut itu dijalankan oleh anggota bomba bersama dengan pasukan Polis Marin.