Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, ia merupakan fenomena semulajadi biasa berlaku dan tiada kena-mengena dengan bencanna alam yang kebetulan melanda negara jiran baru-baru ini.

Fenomena air laut surut itu bukan sahaja dikesan di Pantai Teluk Lipat tetapi juga dikesan di beberapa lokasi lain di Terengganu seperti Pantai Bukit Keluang, Besut dan Pulau Redang, Kuala Nerus.

“Fenomena tersebut telah diramal awal oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan dan Jabatan Saliran dan Pengaliran dan ia merupakan kejadian alam biasa.

“Pertembungan air pasang besar sebenarnya boleh menyebabkan paras air laut surut ke tahap maksimum seperti yang berlaku di muara Sungai Dungun dua, tiga hari lalu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia ataupun JUPEM telah mengeluarkan kenyataan mengenai fenomena ini di laman Facebook mereka.

PENJELASAN FENOMENA AIR SURUT EKSTREM DI KUALA DUNGUN, TERENGGANU PADA MINGGU TERAKHIR DISEMBER 2018

Fenomena ini sememangnya telah dijangka akan berlaku seperti yang diramalkan oleh JUPEM berdasarkan rekod-rekod cerapan air pasang surut yang terdahulu.

Berdasarkan ramalan ini, paras air pasang dan surut secara ekstrem dijangka akan berlaku pada pada 22-27 Disember 2018. Hal ini disebabkan oleh dua faktor berikut:

Pertama – Tarikan graviti terutamanya oleh bulan serta putaran bumi menyebabkan berlakunya kitaran air pasang dan surut harian.

Pada awal dan pertengahan bulan Qamariah (lunar month) iaitu ketika bumi, matahari dan bulan hampir berada pada satu garisan, tarikan graviti tambahan daripada matahari pula akan menyebabkan ketinggian air pasang yang melebihi daripada ketinggian air pasang harian.

Ini dinamakan sebagai air pasang perbani (spring tide). Keadaan ini juga akan menyebabkan berlaku paras air surut yang ketara.

Kedua – Bulan mengelilingi bumi di dalam orbit bulanan yang berbentuk elips (elliptical orbit). Ini bermaksud bahawa terdapat ketika apabila bulan berada pada kedudukan yang paling dekat dengan bumi (perigee).

Keadaan ini menyebabkan terdapatnya peningkatan tarikan graviti oleh bulan serta pertambahan ketinggian paras air pasang dan paras air surut yang juga agak ketara. Perigee bagi bulan Disember berlaku pada 24 Disember 2018.

Kesimpulan

Kedua-dua air pasang perbani dan perigee ini mempunyai kitarannya yang tersendiri, namun apabila kedua-duanya berlaku serentak, kesan gabungannya akan menghasilkan fenomena air pasang perbani penuh (perigean spring tide) yang menyebabkan berlakunya air pasang dan air surut yang ekstrem. Fenomena ini boleh berlaku beberapa kali dalam setahun.

Bahagian Ukur Geodetik
Ibu Pejabat Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia