[VIDEO] “Dibawa arus agak jauh” Guru Agama Bergadai Nyawa Selamatkan 4 Remaja Hampir Lemas

Seorang guru sekolah agama telah berjaya menyelamatkan empat orang mangsa kemalangan yang hampir lemas dihanyutkan arus sungai.

Muhammad Nor Imran yang dalam perjalanan pulang ke rumah ditahan seorang remaja perempuan yang berada dalam keadaan basah kuyup dan panik bagi memohon bantuan di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah, Perak, lapor Berita Harian.

“Saya terkejut dan sudah menjangka pasti ada musibah berlaku kepada remaja perempuan yang dalam keadaan basah kuyup yang cuba menahan kereta saya untuk meminta bantuan.

“Melihat keadaan dirinya saya sudah dapat mengagak pasti ada musibah yang berlaku dan terus berhenti, sebelum dimaklumkan kejadian itu.

“Tanpa berfikir panjang saya terus ke tepi tebing dan melihat dua mangsa sudah dibawa arus agak jauh, malah seorang sudah tidak sedarkan diri, manakala dua lagi sedang berpaut pada kayu.

Imran memberitahu, tanpa berfikir panjang dia terus terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan dua orang remaja yang sedang bergelut melawan arus sebelum berenang semua menelamatkan dua lagi rakan mereka.

“Air di tali air itu dalam dan ketika itu juga arus agak kuat. Tidak lama selepas itu ada pasangan suami isteri turut membantu memberi bantuan penafasan kepada mangsa.

“Ketika itu saya memang tak fikir panjang. Hanya ingat nyawa mangsa saja dan mahu segera menyelamatkan mereka. Malah penat berenang juga tidak terasa ketika itu.

“Semua mangsa kelihatan penat dan trauma, namun saya bersyukur mereka semua selamat serta dapat membantu kerana jarak tebing dengan jalan agak tinggi dan menyukarkan pengguna jalan raya perasan kejadian itu.

“Biarpun saya tidak mengenali mereka, namun sudah menjadi tanggungjawab untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.”

Tambah Imran lagi, mangsa turut diberi bantuan pernafasan oleh individu lain yang berada di tempat kejadian.

Semua mangsa dilaporkan selamat dan telah dibawa ke hospital oleh keluarga masing-masing.

Rata-rata netizen memuji sikap Imran yang berani dan sanggup0 menggadai nyawa menyelamatkan orang walaupun tidak dikenali.