Baru Tiga Hari Kerja, Lelaki Maut Dirempuh Pemandu Mabuk

Selang beberapa hari lepas, satu kemalangan maut melibatkan seorang pemandu mabuk yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Hari ini menerusi laporan Harian Metro pula, satu lagi kejadian yang melibatkan pemandu mabuk telah mengorbankan nyawa seorang lelaki.

“Kahwin nanti terus pindah” Pasangan Tunang Ini Deko Rumah Sebelum Kahwin

Maut dalam perjalanan pulang ke rumah

Seorang pekerja syarikat kurier maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh pemandu mabuk.

Kejadian berlaku di kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutuan hala ke ibu negara dekat Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 pagi itu, lelaki berusia 42 tahun yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala rakannya yang parah kini dirawat di Zon Merah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Baru 3 hari mula bekerja

Difahamkan, kedua-dua mangsa adalah rakan sekerja dan tinggal serumah dan mangsa yang meninggal dunia dikatakan baru tiga hari bekerja di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya.

Kedua-dua mangsa yang terlibat baru sahaja habis bertugas dan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di ibu negara.

Pemandu kereta hilang kawalan 

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata hasil siasatan mendapati pemandu kereta berkenaan hilang kawalan dan melanggar motosikal mangsa yang berada di laluan motosikal.

“Pembonceng motosikal, lelaki berusia 42 tahun maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal, lelaki berusia 30 tahun parah dan dikejarkan ke PPUM”.

“Pemandu kereta adalah lelaki tempatan yang juga seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta berusia 22 tahun”.

Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan

“Dia tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan telah mendapati pemandu terbabit berada di bawah pengaruh alkohol dan menerusi hasil ujian kandungan alkohol yang dijalankan mendapati paras alkohol di dalam tubuhnya tinggi.

Foto: Ohbulan

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Operasi membanteras pemandu mabuk

Selain itu, Nik Ezanee turut berkata, pihaknya menerusi Op Alkohol akan memperhebatkan lagi usaha mengekang dan membanteras kesalahan membabitkan pengguna jalan raya terutama mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol.

“Ini kerana mereka boleh membahayakan keselamatan orang ramai dan boleh mengakibatkan kematian kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Semoga kejadian ini memberi pengajaran dan iktibar kepada kita semua dan diharap orang ramai dapat mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.