[VIDEO] “Dialah mata, dialah tongkat” Baru 7 Tahun, Anak Ini Pimpin Tangan Ibu Bapa Buta

Pelbagai ragam dan reaksi yang dikongsi oleh ibu bapa pada minggu pertama persekolahan bermula bagi tahun ini.

Namun, satu perkongsian di Facebook telah mendapat perhatian ramai apabila seorang anak kecil datang untuk hari orientasinya memimpin tangan kedua ibu bapanya.

Anak kecil itu datang menulis sendiri butiran yang perlu diisi kerana kedua ibu bapanya tidak dapat melihat.

Dia adalah mata dan tongkat kami

“NUR Khairunnisa adalah mata dan tongkat kami,” kata Nur Suhaida Norwi, 30, ibu kepada murid Tahun Satu, Nur Khairunnisa Mohammad Haizir yang menjadi tular di laman sosial.

Anak kecil itu turut menunjukkan persekitaran sekolah seperti padang, kelas, kantin ketika minggu orientasinya kepada ibu bapanya.

Murid Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Jalan Batu, Kuala Lumpur ini dilihat berdikari dan bersifat matang sebelum usinya.

Anak ini memang anugerah Allah

Menurut Nur Suhaida kepada Harian Metro, anak tunggalnya itu sangat memahami ‘kekurangan’ ibu dan bapanya terutama untuk bergerak ke mana-mana.

“Khairunnisa membaca papan tanda dan nombor kenderaan serta bertanya orang ramai dalam setiap urusan harian kami”.

“Anak ini memang anugerah Allah, dia tahu dalam usia masih muda perlu berdikari dan berdiri sendiri untuk membantu kami yang buta,” katanya.

Nur Khairunnisa mengenal huruf seawal lima tahun

Sementara itu menurut Mohammad Haizir Zakaria, 36, Khairunnisa sudah mengenal huruf ketika berusia lima tahun.

Anak kecil ini yang diharapkan menaiki pengangkutan awam dan menempah perkhidmatan e-hailing untuk bergerak.

Cita-cita Khairunnisa adalah membeli kereta dan bawa kami berjalan-jalan

“Anak ini tahu kami tidak nampak tetapi tetap juga mahu menjaga kami, paling meruntun jiwa cita-citanya untuk membeli kereta besar dan bawa kami berjalan-jalan”.

“Saya faham kenapa anak bercita-cita mahu membeli kereta, mungkin dia nampak kepayahan untuk kami bergerak,” katanya yang cacat penglihatan sejak kecil.

Khairunnisa yang menguruskan tiket semasa di KLIA

Seawal usia empat tahun, dia dan isteri sudah mengajar Khairunnisa untuk rajin bertanya orang ramai sekiranya memerlukan bantuan ketika mencari jalan.

“Bulan lalu, kami sekeluarga ke Sabah untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga di sana.

“Ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khairunnisa tahu apa yang perlu dilakukan, dia segera ke kaunter tiket bertanyakan apa perlu dilakukan kerana kami buta. Dia memang peramah dan bertanggungjawab walaupun masih muda,” katanya.

Setiap hari Haizir dan isteri akan menaiki lrt untuk hantar Khairunnisa ke sekolah

Mohammad Haizir berkata, setiap hari dia dan isteri akan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Hang Tuah hingga Stesen Sultan Ismail untuk menghantar dan menjemput Khairunnisa daripada sekolah.

“Walaupun Khairunnisa nampak matang namun usianya tetap masih muda dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menjaganya,” katanya.

Seorang anak yang kuat dan bertanggungjawab

Menurut guru kelas Nur Khairunnisa, Amira Nadwa Mohd Nasir, 28, berkata, dia tersentuh hati melihat anak muridnya.

Khairunnisa merupakan seorang anak yang begitu kuat dan bertanggungjawab walaupun baru berusia tujuh tahun.

Jatuh air mata saya, guru kelas Khairunnisa

“Jatuh air mata saya melihat seorang anak kecil, memimpin ibu bapanya yang tidak dapat melihat ke orientasi Tahun Satu pada 31 Disember lalu ketika hari pertama ke sekolah”.

“Dia sendiri menulis nombor telefon ibu bapanya walaupun baru bertatih dan terbalik menulis, kuatnya dia walaupun terpaksa berdikari dalam usia terlalu muda,” ujarnya ketika dihubungi.

Menurut Amira Nadwa lagi, selepas selesai orientasi Khairunnisa bersemangat memimpin tangan ibu bapanya melihat persekitaran sekolah seolah-olah mereka dapat melihat.

“Mak sini kantin, sini padang sekolah”

“Masih terbayang di mata saya Khairunnisa menunjukkan ‘mak, sini kantin, ini padang sekolah’”.

“Selepas orientasi, saya bersembang buat pertama kali dengan ibu bapanya semalam (kelmarin) ketika hari pendaftaran pertama sekolah”.

Dialah mata dan tongkat ibu bapanya

“Masih terkesan ayat ibunya kepada saya apabila mengandaikan Khairunnisa adalah mata dan tongkat suami isteri berkenaan”.

“Sememangnya murid ini boleh dijadikan inspirasi buat kita semua walaupun masih kecil tetapi mempunyai jiwa besar, mampu memimpin ibu bapanya ke mana saja mereka pergi,” katanya”.

Pilu hati melihat keluarga kecil ini menguruskan kehidupan harian mereka. Semoga mereka sentiasa diberkati dan dimudahkan urusan.