[VIDEO] Tak Mengharap Simpati, Lelaki OKU Kudung Kaki Ini Ternak Kambing Sara Keluarga

Lahir dengan kekurangan kudung kedua belah kaki bukanlah alasan kepada seorang lelaki di Tumpat yang mengusahakan ternakan kambing.

Bagi dirinya, bergelar orang kurang upaya (OKU) tidak bermakna perlu mengharapkan bantuan orang lain semata-mata.

Dilahirkan tanpa kaki

Syahrin Naim Mohd Salleh, 40, yang dilahirkan tanpa kedua-dua kaki sehingga paras paha membuktikan kecacatan bukan halangan untuk berjaya, lapor HMetro.

Syahrin memberitahu kekurangan itu berlaku sejak dilahirkan dan dia sememangnya menguruskan kehidupan seharian dengan hanya menggunakan tangan.

“Sejak dari kecil sudah begini, jadi saya terbiasa dan tidak kekok menjalankan kerja-kerja termasuk berjalan menggunakan tangan.”

Malah menurutnya, dia menyarungkan selipar di tangan dan sudah biasa dengan pandangan orang sekeliling melihat keadaanya.

“Saya pun biasa menyarungkan selipar di tangan untuk berjalan dan sudah lali dengan pandangan orang lain yang melihat keadaan saya ini. Saya juga mengusahakan ternakan kambing ini untuk menampung keluarga sendiri daripada mengharap ihsan,” katanya.

Tidak mahu simpati

Syahrin yang merupakan anak keenam daripada 10 beradik itu berkata, dia tidak mahu meminta simpati daripada orang ramai.

Dahulu Syahrin berpengalaman sebagai tukang jahit pakaian wanita, langsir dan cadar, kini Syahrin Naim bergelar penternak kambing berjaya.

Dia memulakan penternakan kambing sejak tahun 2018 dengan hanya bermodalkan RM500 sebagai permulaan.

Kini, Syahrin sudah memiliki 29 ekor kambing dari pelbagai jenis baka untuk dijual.

“Sekarang ada 29 ekor kambing dari baka Jamnapari, Seanen dan Boer yang berada dalam jagaan saya, diberi makan dan minum dengan baik serta bersih untuk dijual kepada orang ramai.”

Uruskan sendiri kandang kambing

Menurutnya, dia sendiri yang membersihkan kandang dan memerah susu kambing setiap hari.

“Rutin saya pada setiap pagi, saya akan membersihkan kandang kemudian memberi makan dan memerah susu kambing juga bekalan untuk dijual,”

Malah, Syahrin juga mempunyai lesen memandu dan boleh membawa kenderaan jenis kereta yang diubah suai khas untuknya.

Menurut Syahrin lagi, segala usaha gigihnya itu turut dibantu isterinya, Siti Lailah Mat Hussin, 35, yang dikahwini sejak enam tahun lalu.

“Isteri terlalu banyak membantu saya menjalankan perniagaan ini dan saya sendiri mahu buktikan kepada semua terutama mereka yang senasib dengan saya bahawa golongan seperti kami pun boleh berjaya dengan usaha gigih.”

Tambah Syahrin lagi, walaupun gagal di permulaan, perlu berusaha lagi dan kekurangannya bukanlah halangan untuk berjaya seperti orang yang normal.

“Kalau gagal sekali pun kena usaha lagi dan memang sukar kerana kurang upaya berbanding orang normal tetapi perkara itu bukan satu halangan untuk saya menjadi usahawan yang berjaya suatu hari nanti walaupun saya serba kekurangan,”

Harga jualan kambing dan susu

Menurut Syahrin, seekor kambing ternakannya dijual dengan harga sekitar RM450 hingga RM1,500 bergantung kepada jenis baka kambing.

Manakala susu kambing pula dijual dengan harga 50 sen sehingga RM3 sebotol.

Syahrin juga mendapatkan nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam penjagaan kebersihan dan kawalan penyakit terhadap haiwan itu.

Mahu kembangkan perniagaan

Seperti usahawan yang lain, Syahrin juga berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaannya pada masa hadapan.

“Satu hari nanti, saya ingin menggunakan khidmat pekerja untuk membantu menjalankan kerja-kerja menjaga kambing ini apabila berkemampuan kelak.”


“Usaha saya ini juga diharap menjadi inspirasi buat golongan OKU lain untuk menjana pendapatan sendiri,”

Semoga apa yang dilakukan oleh Syahrin ini menjadi inspirasi buat semua pembaca.

Video temubual Syahrin Naim