[VIDEO] Baru 4 Hari Bernikah, Isteri Hilang Suami Buat Selamanya

Hanya empat hari saja sempat merasa alam rumah tangga, Nor Shahirah Mohd Fuad, 24, kehilangan suaminya buat selama-lamanya selepas kemalangan jalan raya pada hari Isnin yang lepas.

Malah, inai masih merah di jari dan wanita itu hanya mampu menatap gambar perkahwinan untuk melepaskan kerinduannya terhadap suami, Fikri Ghazali, 33, yang juga cinta pertamanya.

Pasangan itu juga tidak sempat mengadakan majlis resepsi dan bulan madu yang sudah dirancang pada April dan selepas Aidilfitri nanti.

Ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Pak Jah, Tumpat, Nor Shahirah berkata, mereka mendirikan rumah tangga pada 7 Februari lalu sebelum kembali ke Shah Alam, Selangor kerana bekerja dan menetap di situ.

“Majlis resepsi kami sepatutnya berlangsung pada April ini di rumah saya di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Kami juga merancang untuk meraikan bulan madu dalam masa yang sama mengadakan hari keluarga di Kolam Air Panas Pasir Akar, Terengganu selepas Aidilfitri ini.

“Namun kini semuanya hanya tinggal rancangan sahaja,” katanya, sedih.

Nor Shahirah mengakui dia sukar mengawal emosinya dan adakala menangis tanpa henti disebabkan terlalu sedih.

Video di Facebook Shahirah:

Bagaimanapun, dia terpaksa tabah dan reda dengan ketentuan Illahi kerana enggan ‘menyeksa’ arwah di alam sana.

Allahyarham Fikri dijemput  ilahi  selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Shah Alam, Selangor.

Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang kelainan ketika hari kejadian, malah dia sendiri sangat gembira kerana dapat menyediakan sarapan buat Fikri sebelum lelaki itu ke tempat kerjanya.

“Kira-kira sejam selepas dia keluar, saya menerima panggilan daripada rakan arwah memberitahu suami terbabit dalam insiden dan dibawa ke Hospital Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, jenazah Fikri dibawa pulang ke kampung halamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Datuk, Tumpat, pagi semalam.

Walaupun ikatannya bersama arwah sudah terlerai, Nor Shahirah berharap hubungannya dengan keluarga mentua kekal sampai bila-bila dan dia akan sentiasa melawat mereka.

“Saya akan cuba datang seminggu atau sebulan sekali melawat keluarga arwah kerana mereka juga keluarga saya dan paling penting mahu ziarah kubur arwah suami yang akan saya kenang hingga ke akhir hayat kerana dialah cinta pertama saya,” katanya.