“Tunjuk bukti jika saya ada sebut SST boleh turun harga” – Lim Guan Eng

Lim Guan Eng hari ini mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa tiada jaminan harga barang akan turun selepas pelaksanaan cukai SST, lapor Sinar Harian.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi seperti pernah disebut dalam sesi Parlimen sebelum ini bahawa kerajaan tidak pernah jamin harga barang tidak akan naik, yang kita jamin ialah jika ada kenaikan harga…..,”

Menteri Kewangan berkata demikian di sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Walaubagaimanapun, Guan Eng tidak dapat meneruskan kenyataannya kerana diganggu oleh ahli-ahli parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati dengan kenyataan beliau.

Beliau kemudian mencabar mana-mana pihak menunjukkan bukti sekiranya beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa harga barang akan turun dengan pelaksanaan cukai SST.

“Saya dah sebut banyak kali, jika YB boleh tunjuk di mana saya sebut SST akan sebabkan kekurangan harga tolonglah beri petunjuk kepada saya. Jika tidak boleh tunjuk bukti jangan sebarkan fitnah tak berasas.”

Berkenaan dengan soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai jenis cukai baru akan diperkenalkan kerajaan, Lim Guan Eng mengatakan perkara tersebut akan diumumkan dalam belanjawan negara yang akan dibentang pada 2 November 2018.

“Dua minggu saja lagi sebelum belanjawan dibentang. Harap Bera sabar sikit sebagaimana yang ditunggu rakyat,” katanya.