“Tiba-tiba dengar bunyi jatuh!” Insiden Rope Swing KKB, Adik Dedah Kakak Sempat Beritahu Sesuatu Sebelum Terhempas

Seorang wanita patah tulang belakang selepas terjatuh sewaktu melakukan aktiviti terjunan ‘rope swing’ di Kuala Kubu Bharu, Selangor pada hari Ahad lepas.

Menurut Mohamad Yakub Abd Rahim, 31, kakaknya itu, Siti Halijah Abd Rahim, 33, baru selesai melakukan terjunan dan tergantung pada ketinggian sekitar 10 meter sebelum berlaku kesilapan teknikal pada kabel menyebabkan dia terhempas ke atas batu dan jatuh ke dalam sungai.

Menerusi laporan mStar, Yakub yang juga Pembantu Tadbir Undang-Undang di Mahkamah Tinggi Shah Alam mengakui masih lagi terkejut dengan kejadian itu.

Menurut Yakub, dia pada waktu itu baru selesai melakukan terjunan sementara ahli keluarga yang lain termasuk ibunya sedang memerhati di platform tinjauan.

Suka sukan ekstrem

Yakub memberitahu, sehari sebelum kejadian, kakaknya telah mendaki gunung di Negeri Sembilan.

“Kakak memang suka sukan ekstrem. Sehari sebelum kejadian pun dia pergi mendaki gunung di Negeri Sembilan dan pulang dalam pukul 12 malam.

“Dah lama dia nak buat terjunan rope swing. Dah banyak kali… saya tepis dia ajak, tapi kali ni saya tunaikan hajat lama dia. Kami sekeluarga pergi pada hari tu termasuklah emak.

“Selepas daftar, giliran saya yang terjun dahulu. Masa saya kat bawah, saya tengok dia terjun dan swing sampai berhenti.”

Sempat sembang dengan kakak

“Kira-kira 10 meter dari atas air, saya sempat sembang dengan dia. Dia kata best gila. Saya pusing ke belakang nak ke tempat dia mendarat, tiba-tiba dengar bunyi jatuh… sekelip mata,” ujarnya.

Menurut Yakub lagi, kakaknya yang berada di dalam air diselamatkan oleh petugas water rafting yang berada berdekatan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Kakaknya kemudian dipindahkan ke Hospital Selayang dan menjalani pembedahan akibat patah tulang belakang pada pagi Selasa.

Dia kata kaki tak rasa

Yakub menceritakan bagaimana keadaan kakaknya yang tidak sedarkan diri ketika diselamatkan.

“Masa diselamatkan kakak memang tak sedar. Mereka pam dada dan kemudiannya kakak sedar. Masa tu kakak tak ingat apa-apa, dia tanya kita ada kat mana?

“Saya cakap, kita jalan-jalan je… dia boleh bercakap tapi sangat lemah. Dia kata kaki tak rasa. Dia ulang ayat kaki tak rasa tu sampailah kami tiba ke hospital,” ujarnya.

Tidak menyalahkan mana-mana pihak

Walau bagaimanapun, Yakub sekeluarga tidak menunding jari kepada penyedia khidmat aktiviti berkenaan, malah mereka turut menyatakan mahu bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

Tambah Yakub lagi, dia menganggap apa yang berlaku sebagai ketentuan Allah dan berharap ada sinar buat kakaknya itu.

“Mereka tak lepas tangan, kami pun tak mahu tunding jari. Ini semua qada’ dan qadar. Mereka juga follow up dengan kami sampai sekarang.

“Cuma saya minta mereka tingkatkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan seperti letak jaring fleksibel dan sebagainya.

“Kalau dah nak jadi, mungkin boleh berlaku kepada saya. Saya pun dah lama follow Instagram mereka, tengok tak pernah ada kejadian sebegini,” ujarnya lagi.

Rata-rata netizen amat terkesan dengan kejadian tersebut dan mendoakan agar kakak Yakub lekas sembuh.