Sultan Johor Kurnia Kereta Kepada 10 Jururawat Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan mengurniakan 10 buah kereta kepada 10 jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, hal ini adalah bagi memberi penghargaan di atas sumbangan serta khidmat mereka kepada Baginda dan juga Keluarga Diraja Johor.

Menurut penyelia Jururawat, Matron Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak tahun 2006, beliau melahirkan perasaan syukur di atas kurniaan berkenaan.

“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.

“Besar sungguh nilainya kepada kami semua, dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan DYMM Sultan Johor serta Keluarga Diraja Johor.”

Menerusi Royal Press Office (RPO), kenderaan berkenaan disampaikan kepada mereka dalam satu majlis di Kasawari Motors Sdn. Bhd di Larkin, Johor Bahru oleh Pengarah Kasawari Motors, Muhammad Fahmi Bin Datuk Seri Paduka Dr. Hassan.

Turut berkongsi perasaan syukur, Nuraini Aziz berusia 28 tahun yang hadir sendiri untuk menerima kenderaan berkenaan walaupun masih dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak pada tiga hari yang lalu.

“Saya bersyukur kerana dapat hadir kerana ini merupakan satu kenangan yang sangat istimewa.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada DYMM Sultan Johor dan Keluarga Diraja Johor.”