Tiada Sebarang Kenduri Arwah Atau Doa Selamat, Kami Mahu Berehat

Tiada sebarang acara bagi menggantikan kenduri perkahwinan yang sepatutnya dilakukan pada Sabtu ini, itu keputusan keluarga anggota Bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, lapor Berita Harian.

Ayah Allahyarham Adib , Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata anaknya sudah selamat dikebumikan dan sudah pastinya majlis perkahwinan terbabit juga tidak akan dilangsungkan.

“Malah, saya tiada sebarang rancangan untuk mengadakan kenduri arwah ataupun doa selamat. Persiapan perkahwinan pun sudah pun dibatalkan, malah tiada yang perlu dilakukan lagi. Sekarang, kami mahu berehat seketika kerana sudah 20 hari bersama Allahyarham ketika menerima rawatan,” katanya dalam nada tenang.

Segala persiapan perkahwinan Allahyarham Muhammad Adib bersama pasangannya, Nurul Najihah Mohd Rodzi, 25, telah pun ditangguhkan sejak dimasukkan ke hospital, kata bapa saudara.

“Malah, segala kelengkapan yang digunakan untuk kenduri kahwin sepupu arwah yang berlangsung hari ini (semalam) seperti khemah, kerusi meja juga yang sepatutnya dihantar esok (hari ini) bagi persiapan juga sudah dibatalkan. Kami semua redha pemergian Allahyarham dan biarlah beliau bersemadi dengan aman sebagai syahid,” katanya.

Dalam pada itu, tunang Allahyarham Adib dalam nada sedih dan marah mempertikaikan pihak yang menyebarkan kad perkahwinan mereka.

“Entah siapalah yang sebarkan kad perkahwinan kami,” katanya sebelum berlalu pergi dengan diiringi anggota bomba wanita.

Terdapat lebih 1,000 orang penduduk kampung termasuk keluarga serta anggota pegawai bomba hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Muhammad Adib. Mereka hadir  sejak jam 7 pagi lagi.

Diterbangkan menggunakan helikopter MI17-IV JBPM, jenazah Muhammad Adib tiba di padang Sekolah Kebangsaan Kampung Tebengau selepas penerbangan yang memakan masa dua jam itu.

Jenazah Allahyarham ditemani ibu bapa dan tunang dari Pangkalan Udara Subang, Selangor jam 7.55 pagi selepas selesai menjalani bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur.

Jenazah terlebih dulu untuk penghormatan terakhir dan diuruskan mengikut istiadat kebombaan di mana seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian seragam lengkap bersongkok mengiringi jenazah sehingga ke rumah ibu bapanya di Kampung Tebengau Tepi Laut.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang mengimamkan solat jenazah manakala bacaan talkin disempurnakan Imam masjid, Zainuddin Hassan dan dibantu Timbalan Pengerusi masjid, Abdul Wahab Chik.