Adib Diberi Kenaikan Pangkat, Ini Jumlah Pampasan Yang Akan Diterima Keluarga

Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, telah menerima kenaikan pangkat secara ‘Posthumus’ dari gred KB19 ke KB22, berkuat kuasa serta merta, lapor Berita Harian.

Keluarga Allahyarham Muhammad Adib turut akan menerima pampasan daripada caruman yang dibuat.

Pampasan yang bakal diterima adalah sebanyak RM255,000 yang akan diuruskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek, menegaskan keputusan kenaikan pangkat itu dibuat bagi meringankan beban keluarga Allahyarham dari segi bayaran pencen.

Katanya, keputusan ini dibuat selepas kerajaan dan kementerian melihat perlunya kenaikan terbabit bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan Allahyarham.

“Pemergian Allahyarham yang sudah bertugas lebih empat tahun amat menyedihkan kerana pengorbanan dan keberanian ketika menjalankan tugas dengan mengetepikan keselamatan diri hingga mengalami kecederaan ketika bertugas.

“Kerajaan juga akan menyegerakan pampasan supaya bebanan yang ditanggung keluarga dapat diringankan,” katanya pada sidang media selepas pengebumian jenazah Muhammad Adib di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As Saadah Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Amer Yusof, berkata jabatannya akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) ketika berdepan situasi rusuhan bagi mengenal pasti sebarang risiko supaya kejadian yang menimpa Muhammad Adib tidak berulang.

“Kita sudahpun mempunyai SOP yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun akan diteliti lebih terperinci supaya lebih efektif,” katanya.

Terdahulu, Terdapat lebih 1,000 orang penduduk kampung termasuk keluarga serta anggota pegawai bomba hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Muhammad Adib. Mereka hadir  sejak jam 7 pagi lagi.

Diterbangkan menggunakan helikopter MI17-IV JBPM, jenazah Muhammad Adib tiba di padang Sekolah Kebangsaan Kampung Tebengau selepas penerbangan yang memakan masa dua jam itu.

Jenazah Allahyarham ditemani ibu bapa dan tunang dari Pangkalan Udara Subang, Selangor jam 7.55 pagi selepas selesai menjalani bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur.

Jenazah terlebih dulu untuk penghormatan terakhir dan diuruskan mengikut istiadat kebombaan di mana seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian seragam lengkap bersongkok mengiringi jenazah sehingga ke rumah ibu bapanya di Kampung Tebengau Tepi Laut.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang mengimamkan solat jenazah manakala bacaan talkin disempurnakan Imam masjid, Zainuddin Hassan dan dibantu Timbalan Pengerusi masjid, Abdul Wahab Chik.