Tiada Lauk & Baju Baru Untuk Deepavali, Cikgu Fadli Bantu Keluarga India Ini Shopping Raya

Sambutan Deepavali sepatutnya meriah dengan lauk raya dan baju raya baharu terutama kepada anak-anak kecil yang menyambut perayaan ini.

Namun, bagi keluarga istimewa ini tiada lauk raya dan baju raya bagi mereka kerana tidak mampu untuk menyediakan kelengkapan raya itu.

Keluarga ini sepatutnya gembira menjelang Pesta Cahaya yang sering mereka riakan setiap tahun ini namun kelihatan seperti mereka tidak membuat sebarang persediaan kerana kekangan wang.

Kesuraman itu akhirnya berakhir apabila keluarga istimewa ini mendapat pelawaan seorang cikgu yang sudi membawa mereka membelikan kelengkapan raya pada sambutan kali ini.

Menerusi satu perkongsian yang tular di laman sosial Facebook seorang cikgu bernama Mohd Fadhil Salleh berkongsi cerita mengenai keluarga istimewa ini.

“Hari ini aku bawa Puan Jaya ke Giant untuk membeli persiapan menyambut Deepavali. Setiap anak mereka aku minta dia ambil 2 helai pakaian”.

“Saat mereka memilih pakaian, aku terdengar si ibu berbisik pada anaknya, Eh yang ni RM15 sehelai. Ambil yang sana. RM12 sahaja. Kesian cikgu.”

“Aku pergi dekat mereka lantas berkata, ambil saja yang mana berkenan. Tak perlu risaukan harga.”

“Nanti mahal cikgu nak bayar,” balasnya.

“Ambil saja. Tak apa,” balasku tersenyum.

“Barulah si ibu berani untuk ambil baju yang berharga RM15 dan RM18. Setelah memilih untuk kesemua anaknya, dia datang mendekati aku lantas berkata”.

“Cikgu. Dah siap.”

“Awak punya pakaian mana?”

“Saya tak apa cikgu. Anak-anak saja pun cukuplah. Ini pun banyak-banyak terima kasih sama cikgu.”

“Eh tak boleh. Ambil untuk awak juga. Lepas ni ambil selipar pula satu sorang,” balas aku.

“Baru dia berani menuju tempat pakaian dewasa untuk ambil pakaian bagi dirinya. Begitulah seorang ibu. Untuk mereka tiada pun tak apa, asalkan anak-anak gembira”. 

“Siap pilih pakaian dan selipar, mereka terus menuju ke kaunter pembayaran. Sekali lagi aku panggil mereka.

“Pergi ambil sabun mandi, ubat gigi dan keperluan orang perempuan (pad).”

“Ini sudah banyak cikgu. Cukuplah.”

“Tak apa. Pergilah.”

Puan Jaya mengikut sahaja. Sebaik siap, sekali lagi aku bertanya,

“Kat dapur ada apa? Lauk ada?”

“Geleng kepala”.

“Pergi ambil makanan untuk persiapan Deepavali. Apa yang orang India selalu makan masa Deepavali, ambillah.”

“Boleh ke cikgu?”

“Boleh. Ambillah.”

“Dia dan anaknya menuju ke tempat ikan dan ayam. Dia berpaling ke arah aku dan bertanya”.

“Cikgu. Boleh tak saya nak ambil ayam ini dua ekor. Satu makan esok. Satu lagi makan masa Deepavali.”

“Aku tak menjawab. Aku hanya anggukkan kepala sambil tersenyum. Semasa mereka memilih lauk, aku pergi ke tempat mainan”.

“Aku pilih mainan untuk anak-anak mereka. Nampak sahaja aku menuju ke troli bersama mainan, dia anak terus menyentap tangan ibunya lantas berbisik”.

“Amma… Nandre nandre appa amma toys ka.”

“Haha, aku pun tak faham dan tak tahu apa sebenarnya yang dia cakap. Yang pasti mata anak itu bersinar gembira. Mainan patung untuk anak perempuan, kereta dan pistol untuk anak lelaki. Inikan raya. Mesti gembirakan kanak-kanak”.

“Selepas siap semuanya baru kami keluar. Dan masa nak pulang itulah aku berhenti di KFC. Beratur lebih setengah jam hanya untuk menggembirakan keluarga ini”.

“Sewaktu menghantar pulang, reaksi wajah Puan Jaya dan anaknya sangat gembira. Senyuman terukir disepanjang jalan”.

“Ucapan terima kasih bertalu-talu diucap. Dia tidak pernah meminta. Aku yang mencarinya”.

“Deepavali yang disangka akan suram tanpa pakaian baru dan makanan rupanya menjadi satu Deepavali yang meriah kali ini. Cukup meriah buat keluarga sepertinya”.

“Jika kalian melihat kegembiraan dan senyuman keluarga sebegini, kalian pasti merasa bahagia seperti mana yang aku rasa”.

“Terima kasih semua. Kerana sokongan kalian ada keluarga bergembira di Deepavali kali ini”.

Semoga kita sama-sama bantu membantu antara satu sama lain dan selamat menyambut Deepavali kepada semua yang menyambut perayaan ini.