Tersembam Ketika Bertadarus Al-Quran, ‘Pemergian’ Cikgu Yang Dicemburui

BEKAS pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat meninggal dunia ketika bertadarus di sebuah masjid berhampiran rumahnya di Kampung Pauh Panji, malam tadi. Mat Jusoh Harun, 65, dikatakan sedang membaca ayat suci al-Quran sebelum tersembam, namun masih mampu membaca beberapa potong ayat al-Quran dan mengucap dua kalimah syahadah lalu menghembuskan nafas terakhir jam 10 [...]

Bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat telah meninggal dunia ketika bertadarus alquran.

Allahyarham yang dikenali dengan nama Mat Jusoh Harun, 65, sedang mengaji di sebuah masjid berhampiran rumahnya di Kampung Pauh Panji, malam tadi.

Beliau dikatakan sedang membaca ayat suci al-Quran sebelum tersembam, namun masih mampu membaca beberapa potong ayat al-Quran dan mengucap dua kalimah syahadah.

Dilaporkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 10 malam Jumaat.

Facebook SMK Kampung Laut berkongsi khabar duka tersebut pada pagi tadi.

“Assalamualaikum. Untuk pengetahuan semua…bekas pengetua SMKKL, iaitu Tuan Hj. Mat Jusoh Bin Harun telah meninggal dunia pada waktu isyak tadi ketika sedang membaca al quran.

“Sungguh indah pemergian Allahyarham di malam Jumaat dan ketika beribadah. Semoga rohnya ditempatkan bersama sama orang yang beriman. Amiinn.

“Allahyarham juga merupakan guru kepada Admin semasa Admin menuntut ilmu disana.”

Menurut laporan HMetro, isteri arwah, Wan Hasnah Wan Mohd Nor, 63, berkata dia diberitahu seorang saksi, arwah suami sempat mengucap dua kalimah syahadah sebanyak tiga kali sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Allahyarham masih mempunyai denyutan nadi tetapi terlalu lemah sebelum jemaah menghubungi ambulans.

“Saya dimaklumkan arwah ketika itu masih mempunyai nadi tetapi terlalu lemah sementara ada jemaah menghubungi ambulans.

“Ketika itu saya berada di rumah dan dihubungi rakan suami meminta datang ke masjid kerana suami tidak sedarkan diri.

“Saya meminta supaya mereka membawa suami ke hospital, namun menyuruh saya datang sendiri ke masjid melihat keadaan suami dan ketika itu sudah berasa tidak sedap hati sebelum segera bergegas ke masjid terletak tidak jauh dari rumah,”

Tambahnya lagi, Allahyarham seperti sudah tahu akan ‘pergi’ kerana dia meminta untuk membaca al-Quran sebelum gilirannya tiba.

“Arwah seolah sudah tahu akan dijemput (Ilahi) kerana saya dimaklumkan dia meminta untuk membaca (al-Quran) dahulu sedangkan gilirannya belum tiba lagi.

“Suami juga tidak mengalami sebarang penyakit tapi pernah mengadu rasa sakit di bahagian jantung tetapi tidak mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Pengebumian jenazah akan dilakukan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pauh Panji.

Semoga Allahyarham ditempatkan bersama-sama orang beriman dan beramal soleh.