Terlalu Manja Dengan Tuan, Kambing Nama ‘Gegirl’ Sentiasa Ikut Travel

Memelihara dan merawat haiwan peliharaan di rumah seperti kucing, anjing, ikan hiasan dan sebagainya mungkin jadi suatu hal yang menyenangkan bagi setiap pemilik haiwan peliharaan.

Selain itu, memiliki haiwan peliharaan juga mampu untuk menghalau rasa sunyi seseorang, sekaligus menjadi sebahagian dari keluarga atau sahabat sejati di rumah.

Lumrah naluri pencinta haiwan jika meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama sudah pasti risau akan ‘anak-anak’ kesayangannya ini. Manakan tidak, siapa yang hendak menguruskannya, memberi makan dan membersihkannya.

Namun lain pula dengan video yang tular baru-baru ini dimana seekor kambing ‘sempoi’ sedang tidur di dalam kereta semasa perjalanan pulang ke kampung halaman.

Memetik laporan mStar, wanita yang dkenali sebagai Shafiqa Edora Md Din, 31 berkata ianya merupakan video ‘throwbck’ yang dirakam pada 17 November lalu ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Setiawan, Perak menuju ke Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi di ibu negara.


Lebih mesra disapa Dora, wanita ini turut memaklumkan bahawa kambingnya yang dinamakan Gegirl itu merupakan salah satu daripada enam ekor kambing peliharaannya.

Turut dimaklumkan kambing berbaka kacukan Jamnapari dan boer yang baru berusia lebih sebulan itu dijaganya sejak hari dilahirkan kerana ia ‘dibuang’ keluarga.

“Mak kambing tu namanya Lopa dan ada anak lain nama Baby… kiranya kakak Gegirl tapi mak Gegirl tak nak dia.

“Baby pun kasar jadi hari pertama Gegirl beranak saya dah ambil bela sendiri, beri susu botol, seminggu pertama ada perah susu mak dia nak elak bengkak tapi lepas tu tak larat nak perah jadi campur susu formula kotak Nestle Full Cream.

“Sekarang dah tak boleh berpisah dengan dia,” katanya.

“Dia okay travel jauh janji ada yang teman dalam kereta, kalau pergi kedai makan kami akan tinggal dalam kereta.”

“Memang bising la mulut dia jadi kami memang akan makan cepat-cepat, kalau kedai yang dah biasa kami bawa sekali sebab tuan kedai memang tak kisah, dia duduk diam je atas riba atau dekat kaki,” katanya.

Bercerita lanjut, Dora juga berseloroh mengataan anak kambingnya itu kini terlebih manja serta kadangkala kelihatan seperti ‘terlupa’ bahawa dirinya itu seekor kambing.

“Gegirl tak banyak ragam, dia memang tidur sekali atas katil, dalam bilik aircond, berselimut bagai, kalau kita bangun dia akan bangun juga.

“Mulut tak bising kecuali lapar dan jika salah seorang daripada kami, sama ada saya, suami dan anak-anak hilang dari pandangan.

“Kalau tinggal dengan atok nenek tu dia mengamuk, merengek hentak-hentak kaki depan pintu nak keluar, sejam saya keluar, mak ayah saya kata sejam dia menjerit tak berhenti,” katanya.

Menurut Dora, ibu bapanya kadangkala terpaksa menghubunginya untuk pulang segera dan memujuk ‘anaknya’ itu.


“Mak ayah akan call, balik cepat, anak kau ni menangis.

“Nampak saya balik dia akan terus terkam, bila saya dukung baru senyap.

“Mak ayah cakap ingat kau balik boleh rehat ni nak kena jaga cucu bulu pula,” ujarnya

“Kalau nak main dia cari suami saya, sebab suami suka geletek perut sampai terloncat-loncat.

“Lepas tu bila suami jalan, dia pergi dekat kaki babah loncat-loncat ajak main lagi.

“Kalau dekat bawah OK la, atas katil dia loncat-loncat sakit oii, telapak kaki dia keras,” kata ibu kepada dua anak lelaki ini.

Wanita ini juga memaklumkan bahawa dia akan membawa Gegirl ke bengkel cat kereta miliknya dan suami.

“Dia pandai bawa diri, dia tahun nak duduk mana, dekat mana boleh main, cuma kena pantau juga la sebab kambing ni semua benda dia nak kunyah,” selorohnya.

Selain kambing, Dora mempunyai 13 ekor kucing, dua ekor musang pandan, lebih kurang 20 ekor ayam, sepasang angsa, dua ekor arnab dan pelbagai jenis ikan.

“Saya duduk rumah taman je, rumah corner, jadi saya bela tepi rumah.

“Alhamdullilah jiran saya nak masuk tujuh tahun saya pindah sini, setakat ni semua okay.

“Dan mujur jugalah suami saya sangat memahami saya yang bela macam-macam haiwan lepas tu buat macam anak sendiri,” katanya, sambil menambah dia juga memberi makan 11 ekor anjing jalanan yang tinggal di kawasan bengkel keretanya.

Tidak menjaga secara berseorangan, Dora juga dibantu oleh pembantu rumah dan adik angkatnya jika keadaan memaksanya untuk pergi ke luar negeri.

Video yang tular di laman TikTok:

@indora90 Korang ada bawak kambing naik kereta balik kampung tak? Tak ada? Haa Lemahhh🤣😆 #fypppp #kambingkayangan #tiktokmalaysia🇲🇾 ♬ Vacation – Dirty Heads

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen terhibur melihat anak kambing comel yang sangat ‘behave’ ketika dibawa keluar berjalan.

Berikut merupakan antara komen warga maya: