Ini 9 Tempat Menarik PERCUMA Di Cameron Highlands Wajib Anda Pergi!

Cameron Highland, Pahang merupakan salah satu lokasi pelancongan yang popular di Malaysia. Cameron Highland juga merupakan lokasi menarik yang  terkenal dengan udaranya yang sejuk dan dingin serta suasana yang nyaman.

Cameron Highland juga sesuai dilawati oleh semua peringkat umur terutama mereka yang sudah berkeluarga. Disini, terdapat banyak tempat-tempat yang menarik boleh dilawati.

Selain itu, Cameron Highland juga terkenal dengan pemandangan yang cantik dipenuhi dengan kehijauan yang dikelilingi ladang-ladang teh yang mempersonakan.

Bukan itu sahaja, terdapat banyak ladang bunga di sekitar Cameron Highland dan anda boleh membelinya dengan harga yang murah. Begitu juga dengan buah-buahan yang segar mudah didapati di sini.

Baca: Tips Ke Cameron Highlands

Mempunyai pelbagai jenis tempat menarik, namun terdapat beberapa tempat yang mengenakan tiket bayaran. Jika anda pergi satu keluarga, sudah tentu ia agak membebankan.

Anda tidak perlu bimbang, ini antara 9 tempat PERCUMA menarik yang wajib anda singgah ketika bercuti di Cameron Highland. Mari kita lihat.

9 Tempat Menarik PERCUMA Wajib Anda Singgah:

1. Ladang Teh Boh Sungei Palas

Ladang Teh Sg. Palas antara lokasi kegemaran popular di Cameron Highland. Menikmati secawan teh dan sepotong kek di kafe yang disediakan sambil mata anta dijamu pemandangan ladang teh yang cantik dan mempersonakan menjadikan lokasi ini begitu diminati ramai.

Ladang ini mempunyai keluasan 8 ribu ekar dan merupakan ladang teh terluas di Asia Tenggara. Ladang Teh Sungai Palas ini agak mencabar, berliku dan sempit tidak seperti Ladang Teh Bharat yang terletak di tepi jalan besar. Jadi sila berhati-hati ketika berkunjung ke sini.

Tetapi pemandangan yang indah menghijau terbentang luas menjadikan ramai pengunjung sanggup meredah jalan yang berliku untuk ke sini. Turut disediakan tempat letak kereta, kemudahan tandas dan laluan pejalan kaki ke kafe.

Disini juga turut disediakan galeri teh yang memberikan maklumat kepada pengunjung untuk mempelajari serba sedikit mengenai pemprosesan teh disini. Turut disediakan kedai menjual pelbagai produk berasaskan teh sebagai buah tangan pengunjung.

2. Big Red Strawberry Farm 

Sebut sahaja Cameron Highland pasti anda terbayang strawberi. Di Big Red Strawberi Farm, anda boleh menikmati strawberi yang segar. Pengunjung juga turut diberi peluang memetik sendiri strawberi segar dengan sedikit bayaran dikenakan.

Selain itu, terdapat kafe yang menyediakan makanan yang berasaskan strawberi, kedai cenderamata, bunga segar dan ladang sayur organik. Kalau berkunjung ke sini anda wajib cuba waffle strawberi, sangat sedap! YOY Network

Bayaran masuk adalah percuma, manakala ia beroperasi hari isnin sehingga ahad bermula jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang. Big Red Strawberi ini terletak di Brinchang.

3. Pasar Malam Cameron Highland

Pasar malam ini telah berpindah ke tapak Sungai Riul berdekatan Golden Hills. Lokasi pasar malam ini berada di tengah-tengah antara Tanah Rata dan Brinchang iaitu 3.6km dari Pekan Tanah Rata dan 2.3km dari Pekan Brinchang.

Pasar Malam Cameron Highland ini lokasi wajib singgah jika anda berkunjung ke sini. Ia seperti satu pesta menjual pelbagai barangan hasil keluaran peduduk tempatan seperti teh, sayur-sayuran, bunga segar, cactus, buah-buahan dan sebagainya.

Disini turut menjual pelbagai jenis makanan dan produk berasaskan strawberi. Terdapat gerai yang menjual jagung rebus yang segar dan manis, menjual jagung bakar, snek dan makanan ringan berasaskan strawberi seperti cokelat bar dan sebagainya.

Pasar Malam ini beroperasi pada hari Jumaat dan Sabtu bermula pukul 6.00 petang hingga 11.00 malam. Lokasi adalah di Jalan Sungai Ruil, Pekan Brinchang.

4. Fragrance Nursery


Bagi peminat bunga segar, anda boleh berkunjung ke Fragrance Nursery. Mereka merupakan pembekal tumbuhan pasu terkenal di Cameron Highland yang telah beroperasi selama 25 tahun.

Terdapat pelbagai jenis bunga yang dipamerkan di sini antaranya Lavender, Rosemary, Orkid, Ros, Kekwa dan 100 jenis tumbuhan flora yang lain. Dengan suasana yang nyaman sesuai jika anda berkunjung  kesini menikmati keharuman bunga-bunga segar.

Untuk kesini masuk adalah percuma dan ia beroperasi pada hari Isnin sehingga Ahad bermula pada jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Lokasi adalah Batu 41, Jalan Kea Farm, Brinchang.

5. Puncak Gunung Brinchang & Mossy Forest

Bagi pencinta alam anda sesuai berkunjung ke sini. Anda boleh merasai kehijauan hutan dengan melalui titi kayu yang disediakan untuk pengunjung. Dari sini anda dapat melihat pemandangan yang cantik bahkan anda boleh melihat pemandangan bandaraya Ipoh dari menara tinjau yang disediakan.

Anda sesuai datang ke sini pada waktu pagi dan petang ketika matahari sedang tenggelam atau naik. Jika berkunjung ke sini pada waktu pagi, anda dapat melihat kabus yang tebal meliputi kawasan gunung disini.

Gabungan udara yang sejuk dan lembab menjadikan atmosfera di dalam hutan ini sesuai untuk tumbuhan seperti fens, moss, lichen dan bunga orkid.

Disini anda dapat melihat mossy forest yang mana pokok-pokok disini begitu cantik diliputi dengan lumut yang menghijau dan udara yang sejuk dan nyaman. Lokasi Mossy Forest ini juga lokasi wajib pada pengunjung yang suka mengambil gambar kerana pemandangannya yang sangat cantik!

Bayaran Masuk adalah percuma dan lokasi adalah  di Mossy Forest Brinchang. Anda boleh menaiki kereta dan kawasan letak kereta ada disediakan.

6. Ladang Lebah Eu Feng Gu (Bee Farm)

Lokasi Ladang Lebah Eu Feng Gu boleh dijumpai 3.5km perjalanan dari pekan Brinchang berhampiran dengan Equatorial Resort. Jika berkunjung ke sini, anda berpeluang mempelajari serba sedikit mengenai proses penghasilan madu dan cara menjaga lebah yang betul.

Selain itu, disini juga terdapat galeri membeli-belah yang besar, muzium mini, kafe dan tempat permainan kanak-kanak. Anda boleh membeli madu yang segar dari ladang. Disini juga turut menjual pelbagai produk berasaskan madu seperti losyen madu dan sabun yang diperbuat dari madu.

Untuk berkunjung ke sini, tiada bayaran kemasukan dikenakan kepada pengunjung. Ladang ini beroperasi pada hari Isnin sehingga Ahad bermula jam 8.00 pagi hingga 7.00 petang. Lokasi di Batu 43, Green Cow, Kea Farm Brinchang.

7. Kea Farm

Kea Farm antara lokasi kegemaran pengunjung untuk membeli belah barangan keluaran tempatan dengan harga yang rendah. Lokasinya hanya lebih kurang 2-3km dari Tringkap. Pelbagai jenis jualan anda boleh peroleh disini antaranya sayur-sayuran, buah-buahan, pelbagai jenis tanaman, bunga segar, cactus dan sebagainya.

Harga disini lebih murah berbanding pasar malam Brinchang tetapi kawasan ini sentiasa penuh dengan pengunjung menjadikan kawasan ini agak sesak dan sibuk.

Jika anda tidak sempat ke pasar malam anda masih boleh membeli buah tangan disini kerana ia dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 ptg dan masuk adalah percuma.

8. Cactus Point

Cactus Point adalah sebuah kebun yang mempunyai pelbagai jenis kaktus dengan pelbagai saiz, jenis dan warna. Ada yang kecil, besar, berbunga dan ada yang mempunyai pelbagai warna.

Anda boleh berkunjung ke sini membawa anak-anak untuk lebih mendekati pelbagai jenis kaktus yang berlainan jenis. Cactus juga sering dibeli untuk dijadikan cenderahati.

Jika anda ingin berkunjung ke mari, masuk adalah percuma dan ia beroperasi bermula jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Lokasi adalah di Brinchang.

9. Kebun Anggur Bertam Valley

Selain strawberi, anggur juga antara tanaman yang semakin diceburi oleh masyarakat tempatan disini. Anda boleh datang berkunjung ke Bertam Valley ataupun Blue Valley.

Namun, anda perlu datang ke sini padda musimnya kerana anggur hanya berbuah dua kali setahun sekitar bulan Mac dan September. Selain itu, anda berpeluang merasai pengalaman memetik sendiri anggur disini dan membelinya sebagai buah tangan.

Bagi yang mahu berkunjung ke sini, masuk adalah percuma dan waktu operasi sekitar 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Lokasi di Jalan Sungai Royang, Ringlet.

Semoga Perkongsian ini memberi manfaat kepada anda yang ingin berkunjung ke Cameron Highland.

Jangan lupa untuk singgah di 9 tempat menarik PERCUMA ini. Selamat bercuti!

Sumber: YOY Network