Tak Tahan Sebak Dengar Lagu Ayah dan Ibu, Gadis Sedih Arwah Ibu Tiada di Majlis Graduasi

Anak mana yang tidak mahu ibu bapa mereka melihat kejayaan mereka nak nak lagi setelah berjaya menempuh segala onak duri ketika menyambung pelajaran demi mendapatkan segulung ijazah.

Anak-anak pastinya inginkan kedua ibu bapa mereka berada di sisi mereka untuk menyambut detik-detik indah tersebut namun apakan daya. Tak semua daripada kita bernasib baik.

Tular baru-baru ini di laman TikTok, seorang graduan dari MSU (Management & Science University) yang bernama Diana Khairi, 22 tahun telah berkongsi momen sedih di mana ibunya, Rohani Khamis tidak dapat bersamanya untuk menyambut hari graduasinya itu.

Difahamkan, ibu Diana meninggal dunia pada bulan Mac tahun lepas disebabkan oleh kanser limfoma.

“Arwah mak meninggal pada usia 55 tahun kerana kanser limfoma, sebulan sebelum saya menamatkan pengajian pada April 2020.”

“Saya sedih, harapan saya nak mak dan ayah ada ketika hari graduasi. Rasa kurang seri tanpa arwah mak. Dia nak tengok saya naik pentas, tapi tak sempat.”

“Saya pun dah pasang niat nak pakaikan jubah dan topi, tapi tak sempat. Dalam majlis itu, cuma ayah, kakak dan makcik saja yang hadir,” ujar Diana.

Video TikTok berdurasi 15 saat yang dikongsi oleh Diana itu telah mencuri perhatian ramai dengan mencapai 265 ribu jumlah tontonan, 45 ribu tanda suka, 551 komen dan 352 perkongsian.

Di dalam video itu Diana kelihatan tidak dapat menahan sebak lalu mengalirkan air mata apabila lagu Allahyarham Sudirman Arshad yang bertajuk Ayah dan Ibu diudarakan.

Dia juga sempat menunjukkan loket rantai miliknya yang terkandung wajah dirinya dan ibunya di dalam loket tersebut. Dia dikatakan sering memakai rantai itu dan dibawa ke mana saja dia berada.

“Kebetulan pula keluar lagu sedih ketika majlis itu, terus saya bergenang air mata. Memang dah tak boleh tahan. Saya terasa sangat.”

“Pada waktu itu, saya pakai rantai dengan loket yang ada wajah kami berdua. Saya buat rantai itu selepas mak meninggal, untuk dijadikan kenangan. Saya memang selalu pakai rantai tu.”

“Bila video viral, ramai pula yang tanya beli kat mana? Pada masa sama, saya terharu dengan komen mereka semua. Rama yang doakan arwah mak saya,” tambahnya.

Diana juga menyatakan ibunya lah yang menjadi sumber inspirasi dirinya untuk menyambung pelajaran dalam bidang kulinari.

“Dulu kalau arwah sedang memasak, saya suka sibuk-sibuk kat dapur, kacau dia. Memang belajar memasak dengan arwah mak sejak sekolah rendah lagi.”

“Arwah juga ada pesan, dia kata kalau mipat, sambung saja pengajian dalam bidang ini. Dia selalu doakan kejayaan dan minta saya jaga solat.”

“Bila arwah dah tak ada, saya paling teringat menu ayam sambal hijau. Walaupun saya boleh masak sendiri, tapi rasanya tetap tak sama,” kata Diana yang juga anak bongsu daripada dua beradik.

Diana sempat memberi pesanan kesedaran untuk para keluarga yang mempunyai ahli keluarga pejuang kanser dan kepada pejuang kanser sendiri.

Katanya ahli keluarga memainkan peranan penting dalam memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada pejuang-pejuang kanser. Manakala kepada pejuang kanser, kuatkanlah semangat dalam melawan penyakit ini.

“Kita kena sentiasa positif. Arwah mak saya bertahan selama setahun empat bulan. Pada saya, semua keluarga kena beri sokongan.”

“Kita kena sentiasa bagi motivasi dan kata-kata semangat. Kita yang sihat kena sentiasa tolong pesakit-pesakit kanser,” ulasnya.

Video yang tular di laman TikTok

@dianakhairiAl-fatihah syurga ku, mama tak sempat tengok adik graduate. But this is for you mama ❤️♬ original sound – Diana.khairi

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang sama lingkungan umur dengannya memberi kata-kata semangat dan berpesan agar tidak bersedih. Mereka juga berkata mereka sangat bangga dengan pencapaian Diana.

Wargamaya juga tidak putus-putus mengingatkan Diana bahawa ibunya yang telah kembali ke negeri abadi pasti bangga melihatnya kejayaan yang dicapai olehnya. Mereka juga mendoakan kesejahteraan arwah ibu Diana dan berharap agar Diana terus kuat mengahadapi ujian hidup.

Berikut adalah komen-komen wargamaya di TikTok

“congrats girl. your mom is proud of you. she’s smiling at you from above.”

“jangan begini sis. last mak saya dapat join konvo abg saya ja, masa tu mak saya cakap nanti turn kak taktau la sempat ka dak. hmm mmg tak sempat”


“You did well girl, i am proud of you! Awak kuat”