“Drive macam siput babi,” Gadis Bengang Geng Aruz Konvoi Lane Kanan Highway

Aktiviti berkonvoi kereta mahupun motosikal di atas jalan raya bukanlah perkara asing lagi di negara kita. Malah masih ramai yang berminat dengan aktiviti-aktiviti seperti ini.

Mana taknya, sekali sekala dapat berkumpul beramai-ramai sambil bercerita tentang minat yang sama dengan masing-masing memang perkara yang menyeronokkan.

Namun semasa kita berkonvoi, adakah kita telah mematuhi undang-undang jalan raya yang sudah ditetapkan dan tak menyusahkan para pengguna jalan raya yang lain?

Baru-baru ini seorang pengguna twitter bernama Nida Asifa telah meluahkan perasaan geramnya di laman Twitter disebabkan oleh geng konvoi kereta Perodua Aruz telah mengganggu ketenteramannya menggunakan jalan raya pada waktu awal pagi.

Yang lebih menaikkkan darah gadis itu adalah apabila mereka memandu menggunakan laluan di sebelah kanan dimana laluan untuk kereta yang bergerak laju dan mahu memotong namun kereta yang dipandu mereka perlahan hingga menyebabkan dia dan pemandu yang lain berang dan susah untuk memotong.

Selain itu, mereka juga menyumbang punca jalan menjadi sesak! Gadis itu mengumpamakan mereka memandu dengan kelajuan seperti siput babi.

Gadis itu meminta kepada sesiapa yang mengenali ahli-ahli geng konvoi tersebut berpesan agar lebih bertimbang rasa semasa berkonvoi di atas lebuhraya yang mempunyai ramai pemandu lain agar tidak menyusahkan dan menjadi punca amarah orang lain.

Dia juga menambah dalam tweet bebenang yang dibuatnya itu bahawa kereta di hadapannya juga bengang kerana tidak lepas untuk memotong oleh kerana seluruh lorong di sebelah kanan telah ‘dikuasai’ oleh geng konvoi Aruz tersebut.

Tweet yang dibuat oleh gadis ini mendapat perhatian ramai warga Twitter dimana telah meraih 6.1 ribu retweet, 4.5 ribu tanda suka dan 152 komen. Video berdurasi 16 saat yang dikongsi olehnya juga mendapat sebanyak 113.2 ribu jumlah tontonan dalam masa sehari!

Rata-rata pengguna Twitter turut meluahkan perasaan geram apabila melihat tindakan geng konvoi Aruz itu dan masing-masing berkongsi tentang pengalaman yang sama di ruangan komen.