“Tak tahan duduk sana, hari2 kena..” Abang Dakwa Adik Selalu Diragging

Seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Allahyarham Abdul Aziz Aznam dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 3 bangunan kediaman di kem tentera di Batu Pahat, Johor.

Ekoran kejadian tersebut, ahli keluarga Allahyarham berharap agar pihak berkuasa akan menjalankan siasatan secara adil dan telus.

Menyimpan hasrat untuk tamat perkhidmatan

Memetik laporan Sinar Harian, abang Allahyarham iaitu Mohamd Amirulnaim Aznam memaklumkan bahawa mereka kini menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa selain mengharapkan kematian adiknya itu akan terbela.

“Harap pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat siasat dengan betul dan telus mengikut undang-undang, biarlah ada keadilan dalam siasatan itu nanti”.

Kami serahkan sepenuhnya kepada polis dan tentera

“Buat masa ini, tiada apa yang boleh kami lakukan kerana tidak tahu kedudukan sebenar kejadian, jadi kami serahkan sepenuhnya kepada polis dan tentera untuk menyiasat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Baru Putra, Bercham di sini hari ini.

Jelas Amirulnaim, sebelum ini adik bongsunya yang telah menjalani latihan pada 2018 lalu pernah mengadu tidak tahan dibuli di kem sehingga pernah berhasrat untuk menamatkan perkhidmatannya.

Arwah ambil keputusan pulang ke rumah selama lebih enam bulan

Walaubagaimanapun, keputusannya itu kurang dipersetujui oleh ahli keluarga malah mereka menganggap ianya perkara biasa selain meminta Allahyarham untuk terus bertahan.

“Saya perasan sejak Disember tahun lepas, dia selalu cakap tak tahan duduk sana, hari-hari kena, tapi kami anggap itu perkara biasa, sehinggalah arwah ambil keputusan untuk pulang ke rumah dan duduk di sini selama lebih enam bulan”.

Dirumah, arwah betul-betul ceria

“Sepanjang tempoh dia di rumah, dia nampak betul-betul ceria, tolong mak dan adik beradik lain buat kerja, jadi bila dia beritahu sekali lagi yang dia nak berhenti, kami tak sampai hati dan bersetuju dengan keputusannya itu,” katanya.

Dia berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu pulang ke kem pada 28 Ogos lalu untuk melapor diri dan dengan harapan dapat menguruskan proses tamat perkhidmatan.

Tak sampai 24 jam kami hangar arwah ke kem

“Saya dan mak yang hantar dia sampai ke pintu kem, bila semuanya selesai kami pun pulang, tapi tak sampai 24 jam, keesokan pagi sekitar jam 3 pagi saya dapat panggilan yang adik jatuh dari tingkat tiga bangunan”.

“Saya dan mak menyusul ke hospital dan ketika itu keadaan adik sungguh menyayat hati, dia dah tak sedarkan diri,” katanya.

Mahu ikut jejak arwah bapa menjadi tentera

Beliau berkata, Allahyarham mula menjalani latihan pada 2018 lalu dan memang bercita-cita untuk menjadi anggota tentera.

Arwah mahu mengikut jejak arwah bapa mereka, Aznam Ariffin yang meninggal dunia dua tahun lalu.

Arwah simpan motosikal kesayangannya seolah tanda dia tidak akan pulang

Menurutnya, sebelum kembali ke kem, arwah menyimpan motosikal kesayangannya di dalam bilik, seolah-olah petanda dia tidak akan pulang lagi.

“Kami reda dengan kejadian ini, namun sedikit terkilan kerana kami hantar dia dalam keadaan yang sihat, tetapi pulang dengan keadaan begini pula,” katanya.

Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan, malam ini selepas urusan bedah siasat selesai di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, Johor.

Allahyarham Abdul Aziz menghembus nafas terakhir pada jam 2.30 petang semalam selepas sembilan hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Takziah diucapkan kepada keluarga arwah dan semoga ahli keluarga tabah dengan kehilangan ini.