Tak Mampu Sewa Van KL ke Bera, Keluarga Sanggup Baringkan Jenazah di Kerusi Depan Kereta Untuk Bawa Pulang

Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tanpa kita sedar, masih ramai orang diluar sana setiap hari mengerah keringat demi meneruskan kelangsungan hidup.

Malah, keperitan hidup mereka bertambah apabila berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti ahli keluarga meninggal dunia.

Jenazah lelaki ini semasa hayatnya hidup dalam kesusahan

Seperti yang diketahui, agak sulit untuk menguruskan jenazah apabila ahli keluarga tidak mempunyai kewangan yang kukuh.

Seperti kisah yang dikongsikan oleh Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkongsi pengalaman pasukannya menguruskan jenazah lelaki yang semasa hayatnya hidup dalam kesusahan.

Jenazah mahu dikebumikan di Bera, Pahang

Menurut beliau, lelaki berusia 52 tahun yang menetap di Kuala Lumpur itu meninggal dunia secara mengejut akibat komplikasi jantung pada minggu lalu.

“Dia menetap di Kuala Lumpur bersama keluarganya. Tetapi jenazah perlu dikebumikan di kampung halamannya di Bera, Pahang”.

Arwah lama tidak bekerja kerana sakit

“Arwah dah lama tidak bekerja kerana sakit. Sahabat arwah kata hidup arwah memang susah,” lapor mStar.

Kongsi Ustaz Rafie, dia memberitahu bahawa isteri arwah berasal dari Indonesia dan bekerja mengambil upah mengikut hari.

Isteri arwah bekerja mengambil upah secara harian

“Tak pasti kerjanya apa. Tapi isteri arwah bekerja biasa saja secara harian. Skuad saya bertemu dengan waris,” katanya.

Apa yang menyayat hati berkaitan urusan pengantaran pulang jenazah terbongkar sebelum sahabatnya itu mendapatkan bantuan daripada SPJM.

Keluarga buntu tak mampu bayar sewa van jenazah

“Pihak SPJM dihubungi oleh sahabat kepada isteri arwah yang memohon bantuan pengurusan jenazah dan penghantaran jenazah ke Bera”.

“Sahabatnya beritahu mohon bantu waris ini ustaz. Mereka buntu sebab tak mampu nak bayar sewa van jenazah”.

Dia nak bawa mayat naik kereta sendiri dengan baringkan kerusi hadapan

“Dia nak bawa balik mayat naik kereta sendiri saja dengan cara baringkan kerusi hadapan, Allahuakbar”.

“Begitulah penjelasan yang diberikan oleh sahabat waris yang inginkan pengurusan jenazah dilakukan dengan cara yang terbaik,” katanya sambil menambah bahawa SPJM telah membantu dan menanggung segala kos pengurusan jenazah.

Tiada dokumen perubahan dapat sahkan punca kematiannya

Jelas Ustaz Rafie, jenazah perlu melalui prosedur bedah siasat di sebuah hospital berikutan tiada dokumen perubatan yang dapat mengesahkan punca kematiannya.

Ustaz Rafie juga memberitahu dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih apabila mengenang kembali nasib yang perlu dihadapi waris.

Arwah merupakan anak sulung dalam keluarga

“Rasa sedih sebab kita tinggal di negara yang serba lengkap mencukupi. Mujur maklumat mengenai kesusahan mereka sekeluarga disampaikan kepada kami”.

“Waris juga sempat memaklumkan bahawa mereka baru kehilangan adik bongsu arwah lebih kurang dua bulan lalu. Arwah merupakan anak sulung dalam keluarganya,” ujarnya.


Arwah tinggalkan isteri dan seorang anak

Selain itu, Ustaz Rafie berkata, arwah turut meninggalkan seorang anak lelaki berusia 14 tahun yang belajar di sebuah madrasah di Pahang.

“Namun percayalah setiap ujian itu jika dihadapi dengan sabar dan ikhlas pasti besar ganjarannya di akhirat nanti, insyaAllah,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut bersimpati dengan nasib yang menimpa arwah.

Mereka juga turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga arwah dan berharap keluarga tabah dengan ujian ini.