Dua Lelaki Rohingya Didakwa Rogol Remaja 15 Tahun

Dua lelaki Rohingnya termasuk seorang remaja bawah umur mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol remaja perempuan di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini.

Tertuduh pertama iaitu seorang remaja berusia 17 tahun yang tidak diwakili peguam didakwa di Mahkamah Majistret Ampang, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan pertuduhan, remaja itu didakwa merogol remaja perempuan tempatan berusia 15 tahun berkenaan di tangga sebuah rumah di Taman Komersial, Pandan Indah di sini, pada Ogos lalu.

Remaja berkenaan dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad meminta mahkamah tidak memberi jaminan kepada tertuduh memandangkan remaja berkenaan adalah warga asing yang dikhuatiri akan melarikan diri.

Majistret Normaizan Rahim kemudiannya tidak membenarkan tertuduh tidak diikat jamin dan menetapkan 6 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Mohammed Karim Mohammad Shobi, 20, didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang bagi dua pertuduhan merogol mangsa yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berkenaan di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Komersial, Pandan Indah pada 3 petang Oktober 2019 dan 1 tengah hari pada September lalu.

Mohammed Karim yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Peguam bela tertuduh, Kelvinder Singh Sidhu meminta mahkamah membenarkan tertuduh yang bekerja sebagai operator kilang diikat jamin dengan alasan isterinya sedang sarat mengandung tujuh bulan selain dia adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga.

“OKT (orang kena tuduh) yang menerima gaji RM40 sehari mempunyai isteri yang juga suri rumah dan sedang sarat mengandung tujuh bulan serta dua anak masing-masing berusia empat tahun dan satu tahun.

“Saya memohon OKT diberikan jaminan dengan jumlah yang rendah dan munasabah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa memohon supaya tertuduh tidak diikat jamin memandangkannya adalah seorang warga asing yang boleh melarikan diri hingga gagal dikesan.

“Dalam kes ini, pihak pendakwaan memohon mahkamah melihat keseriusan kes berkenaan memandangkan mangsa hanya berusia 15 tahun.

“Di pihak pendakwaan, masyarakat harus dilindungi daripada kes salah laku seumpama itu,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Norhazani Hamzah menetapkan agar tertuduh tidak diikat jamin.

Hakim juga menetapkan 14 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen.