Tak Malu Cari Rezeki Tepi Jalan, Sharnaaz Ahmad Puji Sikap Amir Raja Lawak

Pada hari ini ramai artis Malaysia yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan ianya bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Namun ada juga di kalangan selebriti yang tidak lagi bergiat aktif dalam dunia hiburan namun masih menyerlah dalam bidang perniagaan yang diceburi demi kelangsungan hidup mereka.

Sama juga kisahnya dengan seorang pelawak Malaysia yang dikenali sebagai Amir Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah bin Azmi ini yang meniaga air jagung di Prima Saujana, Kajang. Perniagaan tersebut merupakan salah satu punca pendapatan utama pelawak dan pelakon berusia 30 tahun ini.

Sebelum ini, Amir Raja Lawak pernah menjalankan perniagaan roti bakar di bawah jenama Roti Bakor Amirreka, namun gagal menempatkan diri di pasaran hingga terpaksa ditutup.

Walaupun bergelar anak seni, Amir juga tidak malu untuk berhujan panas dan berniaga di tepi jalan. Dia mendapat pujian netizen dan juga rakan-rakan artis kerana mempunyai usaha yang tinggi dan bukanlah menunggu rezeki untuk datang bergolek sendiri.

Baru-baru ini, pelakon tersohor Sharnaaz Ahmad tampil menitipkan doa buat Amir Raja Lawak di Instagram Storiesnya  malah sempat mengagumi sikap Amir yang sentiasa berusaha mencari rezeki ketika berada dalam keadaan susah.


Sharnaaz berkata Amir mempunyai ‘sesuatu’ yang tak ramai orang ada. Jarang sekali kita lihat ada selebriti yang berniaga di tepi jalan atas usaha mereka sendiri dan bukan dari peminat.

Tidak sekadar itu, Amir juga mengembangkan perniagaannya secara francais khas buat para peniaga yang berminat.

Pelakon yang juga dikenali dengan watak Jebat ini juga mendoakan agar perniagaan air jagung Amir berjaya dan mampu memasuki pasaran seperti  kedai 7Eleven.

“Sesuatu tentang beliau yang tak ramai orang ada. Berusaha bila susah, dan tidak goyang kaki. Terus maju amir. Kami doakan suatu hari air jagung hang mampu masuk 7E dan kedai 24jam. Amin..” tulisnya di Instagram Stories.

Sekadar info, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi mendirikan rumah tangga dengan Nur Intan Syafinaz pada 14 Mac 2015.