Syarikat China Akan Denda Jika Pekerja Beli iPhone

Sebuah syarikat pembekal kepada jenama telefon pintar Huawei akan mengenakan denda kepada kakitangan mereka yang membeli telefon pintar iPhone keluaran Apple.

Tindakan yang dikenakan itu disifatkan sebagai hukuman untuk menunjukkan sokongan mereka kepada peranti keluaran syarikat dari China itu.

Menpad adalah syarikat pembekal LCD yang berpangkalan di Shenzen yang menjadi pembekal kepada syarikat Huawei.

Di dalam polisi terbaru syarikat itu, mana-mana kakitangan akan dikenakan denda dalam bentuk bayaran, mengikut jumlah harga peranti iPhone yang dibeli mereka.

Mereka juga sebolehnya akan menghentikan pembelian kelengkapan pejabat, komputer dan kereta keluaran Amerika Syarikat (AS) bagi menunjukkan semangat patriotisme,.

Sebagai balasan, kakitangan yang membeli produk keluaran Huawei atau ZTE akan diberikan subsidi sebanyak 15 peratus.

Tambahan lagi, komisyen juga bakal digandakan jika kakitangan syarikat itu berjaya menjual produk mereka ke AS.

“Jika kakitangan membeli iPhone, mereka akan dikenakan penalti 100 peratus mengikut harga pasaran iPhone,” ujar Menpad dalam satu kenyataan

Tindakan syarikat ini dikatakan sebagai satu sokongan terhadap CFO Huawei yang ditahan pihak berkuasa Kanada baru-baru ini.

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei, Sabrina Meng Wanzhou ditahan oleh pihak berkuasa Kanada atas permintaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan beliau melanggar sekatan dagangan AS terhadap Iran.

South China Morning Post yang memetik jurucakap Jabatan Keadilan Kanada, Ian McLeod,  berkata beliau ditahan pada 1 Disember.

“Beliau (Sabrina) akan diekstradisi ke Amerika Syarikat, prosiding ikat jamin telah ditetapkan pada 7 Disember,” kata Ian McLeod.

Sabrina, 41, dianggap individu penting yang berpotensi menggantikan bapanya, pengasas Huawei, Ren Zhengfei.

Pada April, Wall Street Journal melaporkan Huawei disiasat atas dakwaan melanggar arahan sekatan dagangan terhadap Iran.

Huawei, salah satu syarikat pengeluar kelengkapan rangkaian telekomunikasi dan telefon pintar, sejak sekian lama berdepat tekanan oleh AS kononya cip yang dihasilkan syarikat itu kemungkinan digunakan untuk tujuan risikan.