“Setakat ini tidak akan tarik balik pengecualian visa pelancong dari China” – Tun Mahatir

KERAJAAN tidak bercadang menghentikan pengecualian visa selama 15 hari yang diperuntukkan kepada pelancong dari China, meskipun Malaysia berdepan ancaman coronavirus. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebaliknya berkata, kerajaan menerusi agensi berkaitan akan mempergiatkan langkah pencegahan, termasuk saringan di semua pintu masuk negara bagi mengekang penyebaran virus yang berasal dari Wuhan itu. “Setakat ini tidak [...]

Pengecualian visa selama 15 hari yang diperuntukkan kepada pelancong dari China tidak akan dihentikan walaupun Malaysia berdepan ancaman coronavirus.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan menerusi agensi berkaitan akan mempergiatkan langkah pencegahan, termasuk saringan di semua pintu masuk negara bagi mengekang penyebaran virus yang berasal dari Wuhan itu, lapor HMetro.

“Setakat ini tidak (akan tarik balik pengecualian visa), tetapi kita saring setiap pelancong yang masuk,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Virus yang dipercayai mula menular dari pasar makanan laut di Huanan, Wuhan itu kini tersebar ke sembilan negara termasuk Thailand, Jepun, Korea, Hong Kong, Taiwan, Macau, Singapura, Vietnam dan Amerika Syarikat (AS), dengan rekod kematian menjangkau 25 orang serta 830 kes.

Mengakui industri pelancongan negara dipacu kemasukan warga China, Dr Mahathir berkata, republik itu turut mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti menghalang pergerakan keluar masuk ke Wuhan yang sebelum ini dikenal pasti sebagai pusat jangkitan wabak berkenaan.

Namun, katanya, Malaysia tidak boleh alpa daripada memperkukuhkan mekanisme pencegahan kerana virus itu berupaya merebak dengan mudah menerusi sistem pernafasan, khususnya dalam persekitaran ‘dibanjiri’ orang ramai.

“Lawatan orang Singapura dan China kita kena jaga-jaga sikit sebab berbahaya, justeru amalkan langkah pencegahan seperti memakai topeng muka bagi mengelak jangkitan,” katanya.

Mengulas tiga individu warga China yang disahkan dijangkiti coronavirus, Dr Mahathir berkata, mereka akan dibenarkan untuk menerima rawatan sewajarnya di Hospital Sungai Buloh.

“Mereka sudah dimasukkan ke hospital, kita akan pantau supaya tidak menjadi sakit yang teruk, waktu ini masing-masing masih di peringkat awal jangkitan.

“Tetapi mereka kena duduk di situ, kita akan kuarantin,” katanya.

Menyentuh jangkitan coronavirus yang dikatakan berpunca daripada kelawar dan ular, Dr Mahathir berkata, usaha mengekang penularan penyakit ketika ini adalah lebih rumit berbanding sebelum ini.