Serpihan Roket China Dilihat Seperti Meteor ‘Melintas’ Di Langit Bumi Kenyalang Awal Pagi Tadi

China telah melancarkan roket Long March 5B pada 29 April 2021. Roket berkenaan jatuh dan musnah selepas menghentam Lautan Hindi pada Ahad, 9 Mei tahun lalu.

Mungkin ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya roket Long March 5B? Roket Long March 5B ialah penggalak modul pertama untuk membina stesen angkasa China.

Menurut sumber laporan Info Sibu, penduduk di Sarawak terkejut apabila melihat bayang serpihan roket China jatuh ke Bumi di kawasan negeri itu lebih kurang pada jam 12.50 tengah malam tadi.

Menurut sumber, saluran Youtube The Launch Pad yang melaporkan berita ini secara langsung menggesa penduduk Sarawak yang terjumpa sisa ini agar menjauhkan diri demi kesihatan kerana mengandungi radiasi radioaktif.

Bukan itu sahaja, malah terdapat penampakan goresan awan panjang dipercayai sisa wap air yang terbentuk daripada haba panas sisa serpihan tersebut atau yang berkemungkinan berkecai di situ.

Goresan daripada serpihan roket China berkenaan muncul kira-kira sejam selepas penduduk sekitar Sarawak melaporkan terdengar bunyi letupan.

“Letupan yang kuat didengari ialah apabila jasad logam terbakar itu menembusi atmosfera basah yang tumpat.

“..dan sisa dipercayai mungkin jatuh di jalur wilayah di antara Bekenu, Miri, Brunei, Limbang, Lawas, Beaufort dan bahagian selatan Pantai Barat Sabah,” tulis Info Sibu di Facebook.

Dalam pada itu, tular di media sosial rakaman-rakaman yang menampakkan serpihan roket tersebut melalui ruang udara Sarawak, dipercayai menjunam ke bawah.

Video yang tular di laman Facebook dan YouTube