Tipu Pakej Umrah Lebih RM400K, Pengarah Urusan Dihukum Penjara 230 Tahun

Rezeki untuk menunaikan umrah merupakan salah satu impian yang sangat diidamkan oleh umat Islam. Walau bagaimanapun, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab memperdagangkan nama Islam untuk kepentingan diri sendiri.

Ingatlah, agama kita menegah umatnya daripada melakukan sebarang tipu daya atau helah ketika berjual beli.

Memetik laporan Sinar Harian, seorang pengarah urusan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di Mahkamah Majistret Sungai Petani.

Tertuduh dijatuhkan hukuman atas 23 pertuduhan berkaitan penipuan pakej umrah ke tanah Makkah dan ziarah ke Mesir sejak 2015 hingga 2016.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Arif Mohamad Shariff di Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh didapati bersalah dan kes melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh, 56.

Beliau turut menjelaskan bahawa hukuman penjara 10 tahun itu bagi setiap pertuduhan yang diterima oleh tertuduh.

Maka, itu menjadikan jumlah hukuman penjara tertuduh menjadi 230 tahun namun memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Sehubungan dengan itu, mahkamah mengecualikan tertuduh daripada hukuman sebatan.

Hal ini disebabkan tertuduh didapati sudah pun berusia lebih 50 tahun dan dibenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana ingin mengemukakan rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Arif turut menjelaskan bahawa beliau kemudiannya menetapkan jaminan RM 88,000 dengan seorang penjamin, dan mengarahkan tertuduh agar menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsanya untuk disimpan oleh mahkamah sehingga proses rayuan selesai dibuat.

Berdasarkan fakta kes tersebut, tertuduh merupakan seorang pengarah urusan sebuah syarikat pelancongan yang didaftarkan di Jalan Kuala Ketil di kawasan tersebut.

Tertuduh dikatakan telah berurusan dengan seorang individu untuk mengadakan rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir pada 2015.

Amzari Halim (pengadu) pula merupakan seorang perunding dan mutawwif umrah, mengaku bahawa dia telah diminta oleh tertuduh untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik.

Namun begitu, tertuduh tidak memberitahu kepada pengadu bahawa syarikatnya sudah pun ‘gulung tikar’ sejak 14 Januari 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Duit yang pengadu maksudkan itu pula ialah duit para peserta, tertuduh meminta si pengadu memasukkan wang peserta ke dalam akaun bank milik tertuduh, isterinya serta pekerja-pekerja syarikat itu.

Menerusi kes yang telah direkodkan, sebanyak 56 transaksi dilakukan di antara 2 Nov 2015 dan 28 Jan 2016 dengan jumlah RM434,250 yang melibatkan 202 peserta.

Tertuduh juga dilaporkan menghantar jadual tiket penerbangan kepada peserta melalui si pengadu yang sepatutnya bergerak ke destinasi pada 29 dan 30 Januari 2016.

Walaupun tiket sudah diterima, pengadu dan peserta mendapati kesemua jadual perjalanan tiket yang dibekalkan oleh tertuduh tidak sah serta tidak wujud sesudah mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Mereka bertindak untuk membuat laporan polis.

Bertitik tolak dalam hal ini, tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 26 Jun 2018 atas 23 pertuduhan kerana memperdaya pengadu untuk memasukkan wang yang dikutip daripada peserta terbabit.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesemua kesalahan di beberapa lokasi di Kedah, Johor dan Selangor di antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara setahun maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda.

Sebelumnya, peguam Siti Salwa Jaafar, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli dan Siti Haslina Hasbullah pernah memohon mahkamah agar mengenakan hukuman ringan terhadap tertuduh kerana tertuduh sudah berusia dan perlu menyara kehidupan keluarganya iaitu; isterinya dan lima orang anak termasuk seorang manghidap autisme.

Manakala, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin dan Galvin Loo Wei Ming memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana jenayah yang telah dilakukan merupakan jenayah yang teratur dan sistematik.

Tambahan lagi, kes ini juga melibatkan ramai mangsa termasuk dua daripada mereka sudah meninggal dunia.