“Ingatkan bengkak biasa, sekali..”Gara-gara Sengkenit Bergayut, Mata Anak Bengkak Berdarah

Sengkenit atau ada yang menggelarnya kutu babi, tempiras, pirah atau tick ini bersifat seperti drakula.

Ia adalah ektoparasit atau parasit luaran yang hidup dengan menghisap darah manusia termasuk mamalia seperti burung, reptilia dan amfibia untuk pembiakan.

Lebih menyedihkan apabila melihat kanak-kanak yang diserang makhluk kecil sengkenit ini. Setiap kali cubaan untuk tanggalkan sengkenit, pasti anak kecil akan meraung kesakitan malah terpaksa menahan rasa gatal yang teramat sangat.

Sama juga dengan kisah yang tular baru-baru ini dimana seorang kanak-kanak menjadi mangsa gigitan sengkenit pada bahagian sebelah kiri matanya.

Memetik laporan mStar, Noramanina Mohd Zulkifli berkata segala-galanya bermula apabila dia menyedari mata anak sulungnya yang berusia enam tahun itu berair.

“Tapi saya langsung tak nampak apa-apa yang aneh. Anak saya, Aqil, pun tak beritahu bahagian matanya berasa sakit atau tak selesa.”

“Ketika saya keluar ke klinik sebentar menghantar datuknya dapatkan rawatan asma, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada adik. Dia kata pada mata Aqil ada benda hitam.?

“Selepas pulang ke rumah, saya belek mata Aqil. Rupa-rupanya ada seekor sengkenit atau kami di sini panggil ‘pirah’. Haiwan tu dah kenyang melekat di matanya. Memang kena ‘kelepet’ matanya sikit, baru nampak. Tak tahulah dah berapa lama sengkenit tu bergayut di mata Aqil,” cerita ibu muda berusia 25 tahun ini.

Menggunakan petua yang pernah didengarinya, Noramanina segera menyapu bahagian mata kiri anaknya dengan air tembakau bertujuan mahu membuatkan serangga itu ‘jatuh’.

“Bagaimanapun petua tu tak berjaya. Kemudian, saya sapu Minyak Mustajab pula. Tak perlu tunggu lama, akhirnya ia ‘luruh’ sendiri.”

“Tiba-tiba keluar pula darah daripada bekas gigitan serangga itu. Panik dan bimbang jangkitan kuman, saya segera bawa Aqil ke klinik,” ujar wanita yang menetap di Bachok, Kelantan ini.

Bagaimana pun, doktor memaklumkan bahawa tiada kecederaan serius pada mata anaknya sekaligus memuji ibu kepada dua orang anakini kerana cepat bertindak.

“Doktor cuci bahagian luka tu beritahu, tiada kaki atau sengat sengkenit yang tertinggal di mata Aqil. Doktor kata kalau lambat, memang bahaya. Mata boleh buta kalau sengkenit tu berak atau beranak pinak,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, wanita ini juga tidak tahu bagaimana sengkenit boleh hinggap di mata anaknya namun mengesyaki kemungkinan mendapatnya dari kawasan belukar sekitar rumahnya.


“Sedar-sedar je dah kenyang. Masa sengkenit tu luruh, memang montel badannya. Saya pula yang jadi geram dan terus penyet.”

“Anak saya tak rasa sakit pun… tapi dalam video tu dia menangis sebab takut kerana dia sendiri tak pernah kena. Itulah kali pertama pengalamannya menjadi mangsa gigitan sengkenit,” ujarnya

Video yang tular di laman TikTok:

@deqna_24pirah dalam mata🥺ingatkan bengkak biasa sekali buka mata 😱😱♬ Oh No – Kreepa

Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah meraih 193.7K tontonn, 7310 tanda suka, 390 komen dan 124 perkongsian di TikTok.

“Saya pun tak sangka jadi viral. Saya nak simpan sebagai kenangan saja dan kongsi pengalaman. Serangga ni kita tak minta pun ia datang.”

“Tapi ada juga yang kecam, kononnya saya tarik sengkenit tu sampai berdarah mata anak. Sebenarnya video tu separuh je. Saya bukan nak cabut, tapi saya nak tahan sengkenit tu luruh dan masuk pula mata anak.”

“Tapi tak apalah, mungkin mereka tak tahu cerita sebenar. Dalam ramai-ramai yang komen, ada juga yang tak kenal rupa sengkenit.”

“Alhamdulillah, mata Aqil bengkak sehari sahaja. Esoknya dah surut dan pulih seperti biasa,” ujarnya lagi.