Semua Restoran di Kelantan Akan Ditutup Jam 12 Malam Mulai Tahun 2020

Bermula tahun depan, kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan semua restoran (termasuk kedai mamak) dan warung di tepi jalan hanya boleh beroperasi sehingga jam 12 malam sahaja, lapor Harakah Daily.

Dikatakan peraturan itu bakal dilaksanakan bagi mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja seperti kes penyalahgunaan dadah, vandalisme, penyalahgunaan alkohol, pergaduhan dan sebarang tingkah laku yang tidak bermoral.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata, restoran dan kedai-kedai makan yang beroperasi selepas tengah malam antara punca golongan belia kerap keluar lewat malam.

Justeru itu, beliau percaya dengan menghadkan waktu operasi premis-premis berkenaan boleh mengurangkan gejala sosial di kalangan anak-anak muda.

Foto: Harakah Daily

“Kita berhasrat untuk melaksanakan peraturan itu di mana kegiatan pada waktu malam tidak melebihi jam 12 malam.

“Jadi kita minta semua kakitangan kerajaan memberi sokongan penuh. Semakan dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya dapat kurangkan tarikan anak-anak muda ketika berada di luar,” katanya.

“Kita akan laksanakan peraturan itu pada 2020,” katanya pada Perutusan Khas Menteri Besar bersama Kakitangan Awam Kerajaan Negeri sempena 29 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam.