Selamba Guna Wanita Bertudung Untuk Iklan Hari Raya, Syarikat Judi Ini Buat Netizen Bengang

Jika diperhatikan, aktiviti perjudian dilihat semakin mudah untuk diakses di masa kini.

Kalau dulu kaki judi perlu pergi ke kasino ataupun pusat perjudian haram untuk menggunakan mesin dan komputer yang disediakan, kini hanya dengan menggunakan telefon pintar, seseorang sudah mampu berjudi dengan harapan mampu meraih keuntungan.

Terbaru, tular di laman Twitter apabila aktiviti yang sememangnya diharamkan buat umat Islam ini selamba diiklankan menerusi sebuah syarikat judi.

Syarikat judi ini tampil dengan lagu raya sempena Aidilfitri yang bakal tiba dalam mengajak orang ramai menggunakan servis mereka dalam meraih wang berganda.

Malah lebih mengejutkan, syarikat ini turut menggunakan pelakon Muslim dengan imej bertudung menerusi iklan mereka itu.

Nampaknya iklan yang dihasilkan ini telah mengejutkan ramai serta mengundang kepada kecaman para netizen.

Video yang baru sahaja dimuat naik hampir seminggu di YouTube ini dilihat sudah mulai meraih lebih 50,000 tontonan daripada para penonton.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kesal dengan perkara ini yang dilihat secara jelas tidak menghormati bulan Ramadhan yang mulia.

Malah ramai yang mahu tindakan diambil oleh pihak berkuasa ke atas mereka yang terlibat dalam penghasilan video ini.