Sedang Rancak Mengajar, Tiba-tiba Murid Angkat Tangan “Semalam kan, Nurul mimpi ada ular”

Satu kisah yang diceritakan oleh Cikgu Fadli ini pernah menjadi perhatian netizen dan tular pada tahun lepas.

Mari ikuti perkongsian beliau.

______

Ini gambar dua tahun lepas. Dari tahun pertama mengajar, aku tak pernah terlepas dengan mengajar murid tahun 1.

Penat mengajar Tahun 1 ni. Penat nak melayan karenah mereka. Kesabaran perlu ada di tahap dewa.

Kau bayangkan, sedang rancak kita mengajar, berapi-api memberi penerangan, tiba-tiba seorang murid angkat tangan.

“Ya, kenapa Nurul? Awak tak faham yang mana? Atau awak nak cuba jawab soalan ni kat depan?”

“Tak cikgu. Nurul nak cakap. Semalam kan, Nurul tidur kemudian mimpi ada ular masuk rumah Nurul.”

“Eh Nurul. Kita pun pernah mimpi ular tau. Ular tu lawan dengan harimau,” balas Siti.

“Saya pernah tengok ular kat zoo, cikgu,” kata Kamil.

“Ayah kita pukul ular sampai mati, cikgu. Ular duduk tepi pasu,” sahut Aqil dari belakang.

“Mak kita cakap, kalau jumpa ular kena lari cikgu,” balas Anis.

Ter diaaaaaa…

Terus rasa nak pergi ambil wuduk dan solat sunat taubat.

Aku punya macam tarzan kat depan dengan pelbagai gaya memberi penerangan, punya habis skill keluarkan nak bagi murid tumpu perhatian, datang seorang anak polos dan suci murni menukarkan tunjuk ajar aku kepada cerita ular gitu je.

Hanya dengan mengangkat tangan dan bercerita tentang mimpinya, satu kelas bercerita pasal ular.

Habis pakat lupa topik Bundar yang aku ajar. Allahu, tak tahu rasa nak menangis atau nak ketawa. Sebak, sedih, kelakar semua bercampur baur dalam dada.

“La, yeke. Cikgu dulu pun pernah kena kejar ular tau. Masa tu cikgu main dalam semak. Nak dengar cerita ular tak?” balasku pula.

“Nakkkkk cikguuuuuu!” serentak satu kelas menjawab.

Berlari-lari murid dibelakang datang keliling aku ingin mendengar kisah ular.

“Tapi lepas cikgu cerita, semua kena janji kita sambung belajar dan siapkan kerja ya!”

“Baik cikguuuu!” bergegar kelas dengan sahutan mereka.

Pedulikan Bundar, pedulikan Matematik. Pedulikan belajar. Kita bercerita tentang ular dulu.

Masa cerita pasal ular, aku selit lah unsur Matematik sikit.

“Masa tu, cikgu jumpa telur ular. Banyak tau. Cikgu kira ada 18 biji telur semuanya. Ibunya ular keluar pergi bekerja agaknya masa tu. Tak ada kat sarang.”

“Ular mana kerja. Apa la cikgu ni,” sampuk mereka lepas tu kami ketawa sama-sama.

“Kemudian cikgu lihat, ada 3 biji telur telah pecah. Berapa lagi yang tak pecah?”

Semua murid pakat mengira. Habis jari tangan dibuka, kasut pun mereka buka juga nak kira 18 tolak 3. Haha.

Gitulah biasanya dalam kelas tahun 1 ni. Kadang-kadang murid-murid yang hasut cikgu pula. Terus tukar topik belajar kepada topik ular.

Habis bercerita, kami sambung belajar dengan gembira.

Benarlah kata pepatah English yang aku pernah baca, “If you can’t beat them, join them.”

Haaa, gituhhh.

Budak-budak ni suci murni. Tanpa rasa bersalah mencelah, tanpa rasa berdosa datang menagih kasih dari seorang guru.

Aku tidak mengharap yang banyak. Aku cuma harap mereka berjaya dunia akhirat dan akan mengirim doa buat aku disaat aku tidak lagi mampu berdoa kelak.

#MFS
– Menjadi guru itu bukan kerjaya, ia cinta ❤️ –

Bukan mudah sebenanya untuk menjadi seorang guru, lagi-lagi guru sekolah rendah. Tugas mereka bukan saja mendidik ilmu akademik tetapi juga perlu melayan emosi dan membina jatidiri pelajar.

Semoga usaha dan jasa guru-guru sentiasa dihargai oleh semua.