Boleh Membaca Buku di Usia Dua Tahun, Haryz Menjadi Ahli Temuda Persatuan IQ Tinggi Global

Ketika si kecil Haryz sudah mampu mengucapkan kata-kata pertamanya pada usia tujuh bulan, ibunya Anira tahu dia akan menjadi istimewa.

Malah ketika berumur dua tahun, pemilik nama penuh Muhammad Haryz Nadzim itu boleh membaca buku.

Sekarang, kanak-kanak ini telah menjadi orang paling muda yang diterima masuk ke  Persatuan IQ Tinggi Global, Mensa.

Ibu bapanya iaitu Anira dan Mohd, dari Durham, kedua-duanya mempunyai latar belakang kejuruteraan – tetapi tidak pernah menyangka anak mereka menunjukkan tanda-tanda kecerdasan yang luar biasa pada usia semuda itu.

“Kami tidak mempunyai banyak pengalaman, jadi kami fikir itu perkara biasa bagi anak-anak,” kata Anira kepada Metro.co.uk.

“Tetapi bila pergi ke nurseri, kami diberitahu dia lebih cepat daripada anak-anak lain, maka kami menyedari dia istimewa. ”

“Ketika dia berada di nurseri, dia dapat membaca seluruh buku cerita kegemarannya.”

Haryz kini telah dijemput untuk menyertai Mensa British selepas mencapai skor IQ yang luar biasa sebanyak 142 pada ujian Stanford Binet – meletakkannya di atas 0.3% daripada populasi.

Haryz kini merupakan salah seorang yang termuda di dunia yang akan diterima masuk ke kelab eksklusif.

Dia diuji oleh Lyn Kendall, ahli psikologi yang pakar dalam kanak-kanak berbakat.


“Kami berharap dapat membantu dia untuk mencapai potensi penuh dan menyokongnya dengan apa sahaja yang dilakukannya. Kami mahu dia menjadi anak biasa yang bermain dan melakukan perkara biasa yang dilakukan oleh anak-anak.”

Selepas menyedari bahawa Haryz dapat mengingati dan membaca keseluruhan cerita pada usia dua tahun, ibu bapanya membuat satu saluran YouTube bernama Little Haryz.

Keluarga sangat gembira bahawa Haryz telah diterima masuk ke Mensa, dan mereka berharap ini adalah langkah pertama dalam perjalanannya ke arah mencapai perkara-perkara yang luar biasa.

“Ia menarik dan kami yakin ini akan membantu Haryz memberikan sedikit kepercayaan dan keyakinan kepada diri sendiri supaya dia dapat memberi manfaat kepada masyarakat di masa depan,” kata Anira.

Mensa mengesahkan bahawa Haryz akan menjadi ahli termuda dalam organisasi itu sebaik sahaja semua dokumen keahliannya diproses.