COVID-19: “Saya tak tahan duduk situ, saya lapar” Penjelasan ‘Pramugari’ Lari Dari Hospital

Sebelum ini, telah tular mengenai seorang wanita yang bekerja sebagai pramugari Singapore Airlines didakwa telah melarikan diri dari Hospital Parit Buntar.

Beliau dikatakan mempunyai simptom Covid-19 selepas mengakui demam sejak 13 hari lalu selepas pulang dari Singapura.

Difahamkan, wanita berusia 21 tahun itu sepatutnya dirujuk ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan lanjut namun menolak dan menghilangkan diri.

Wanita didakwa mempunyai simptom Covid-19 larikan diri

Ekoran dari tindakan wanita itu, dia telah menerima kecaman atas tindakan yang dilakukan itu.

Tindakan pramugari itu yang dikatakan mementingkan diri kerana dirinya berisiko kepada orang ramai jika dirinya positif wabak tersebut.

Walaubagaimanapun menerusi laman Instagram, pramugari itu dikatakan telah memberikan penjelasan dan apa yang telah berlaku adalah salah faham.

Dirinya kesal kerana kisahnya diviralkan

Nama sebenarnya Mitchell Adriyana Abdul Malik atau lebih mesra dipanggil Yana itu telah pun kembali ke hospital dan kini sedang dirawat.

Pramugari itu turut meluahkan rasa kesal dan terkilan kerana kisahnya telah diviralkan dan memaklumkan kes itu telah selesai.

“Bagi saya kes dah selesai. Tapi saya terkilan kenapa nak viralkan saya sedangkan saya dah call pihak hospital maklumkan nak datang hari ini (Selasa)”.

“Sekarang saya dah kat hospital dan sedang dirawat.”ujarnya kepada Mstar

Memang saya mengaku saya lari

Selain itu, Yana turut memberitahu bahawa dia bukanlah pramugari seperti yang ditulis di laporan polis tetapi masih menjalani latihan kru kabin.

“Memang saya mengaku saya lari. Saya dah tak tahan duduk situ, tanpa makan dan minum”,ujarnya.

Yana juga mengakui dia dibantu oleh abang angkatnya untuk melarikan diri kerana tidak diberikan makanan dan minuman sepanjang berada di bilik isolasi untuk saringan.

Saya tak larat nak balik ke hospital

“Saya pun menangis dekat abang angkat saya cakap nak makan apa semua. Tak apalah abang angkat saya pun bawa saya pergi makan”.

“Lepas tu saya tak larat balik hospital, jadi saya baliklah rumah family abang angkat saya.”ujarnya lagi.

Mengulas lanjut perkara itu, dia berkata semua yang berlaku adalah salah faham dan dia sudahkan menelefon polis dan pihak hospital dan menyelesaikan apa yang berlaku.

Sebenarnya ada timbul salah faham

“Sebenarnya ada timbul salah faham. Saya dah call pihak polis dan pihak hospital semalam (Isnin), beritahu saya akan datang hari ini (Selasa)”.

Yana turut mengulas lanjut mengenai kesihatan dirinya dan menerangkan mengapa dia bertindak sedemikian.

“Kalau nak saya datang semalam saya memang tak larat.”“Hari Ahad saya datang nak check demam sebab saya dah demam banyak hari”.

Mereka hantar surat untuk pindahkan saya ke Hospital Taiping

Menurutnya lagi, selepas menunggu untuk mendapat keputusan saringan dia diberikan surat untuk dipindahkan ke Hospital Taiping

“Tunggu dari pukul 8 malam sampai 1 pagi tapi tak ada result apa-apa. Mereka hantar surat kat saya cakap nak transfer ke Hospital Taiping”.

“Lepas tu mereka cakap saya boleh balik rumah kuarantin. Esok (Isnin) pagi mereka cakap Hospital Taiping full,lepas tu tolak pergi Hospital Ipoh”.

Saya belum disahkan positif

Disamping itu, dia turut memberitahu yang dirinya belum disahkan positif wabak berkenaan oleh pihak hospital.

”Jururawat suruh saya tunggu lagi dari pukul 3 petang tanpa makan minum. Saya mestilah lapar…dahaga lagi. Nak pergi toilet pun tak bagi”.

”Saya belum disahkan positif. Pihak hospital tak cakap result saya, darah saya pun mereka tak ambil”.


Doakan saya cepat sembuh

Ujarnya lagi, dia memohom maaf kerana menyusahkan orang ramai dan meminta supaya orang ramai mendoakan kesihatannya.

“Saya tak pergi mana-mana pun. Kawan-kawan saya pun tak ada yang demam.”Yana minta maaf menyusahkan orang ramai”.

“Terima kasih yang doakan Yana. Doakan Yana cepat sembuh.”

Semoga segala salah faham yang mengenai kehilangannya dari Hospital telah terungkai dan tiada salah faham yang berlaku selepas ini.