“Saya tak mampu” Khutbah Kurang Lancar, Datuk Dr. Zulkifli Tahan Air Mata Melepaskan Anak Sulung

Melepaskan anak tersayang untuk bernikah dengan pilihan hati sememangnya mengundang sebak para ibu bapa. Manakan tidak, selama berpuluh-puluh tahun dijaga makan pakai, akhirnya sudah mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri mahupun suami.

Walaupun momen indah itu bakal disulami tangisan air mata ibu bapa, namun ketahuilah mereka merupakan insan yang paling bahagia melihat anak yang tersayang akhirnya menemukan kebahagian dalam hidup bersama pasangan.

Begitu jugalah situasi yang dihadapi oleh Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Beliau berkongsikan kelangsungan majlis pernikahan anaknya di Instagram dan Facebook. Ramai yang tertarik dengan video ketika beliau menyampaikan khutbah nikah buat majlis anaknya sendiri.

Menerusi video yang dimuat naik, tokoh ulama negara itu dilihat menahan sebak semasa menyampaikan khutbah nikah untuk anakanda sulung tercinta, Mohammad Hasanain bin Zulkifli serta pilihan hatinya, Nurul Azzlina Nabilah binti Abdul Aziz.

Lebih menyentuh hati, beliau yang juga duduk bersebelahan anaknya sempat mencapai tisu untuk mengesat air mata dan akui sukar mempersiapkan dirinya di majlis perkahwinan anak sendiri.

“Biasanya khutbah nikah saya lancar… tapi oleh kerana anak saya sendiri hari ini, saya tak mampu…” kata beliau.

Selain itu, beliau sempat memberi pesanan buat anaknya dalam kehidupan berumah tangga bersama pasangan hidup.

“Anakku, setiap pasangan yang berkahwin bertekad untuk mendapat kebahagiaan. Tetapi hakikat tidak ramai yang dapat mengecapinya.

“Ramai yang ingin menawan hati pasangan tetapi lupa yang hati itu hakikatnya milik Pemilik Segala Hati dan Cinta iaitu Allah SWT.” tulisnya.

Beliau turut mengingatkan anaknya bahawa dalam kebahagiaan hidup berumah tangga sebenarnya mempunyai ujian dan ia adalah sunnatullah yang mematangkan serta menguatkan ikatan kasih buat pasangan suami isteri.

Hantaran yang tular di laman Facebook