“Saya guru praktikal yang rakam video itu, saya yang diberhentikan kerja, bukan cikgu tetap itu,”

Isu cikgu tadika yang menolak dan mencampak murid lelaki di sebuah pusat pendidikan di Shah alam nampaknya ada perkembangan terbaru.

Seorang wanita yang mengaku sebagai guru praktikal yang membuat rakaman video dalam kelas untuk dihantar kepada pihak universiti (rutin) sehingga menampakkan adegan kekasaran yang dilakukan guru wanita terhadap murid, tampil memberi penjelasan agar netizen tidak salah faham.

Menurut guru praktikal yang dikenali sebagai Irma itu berkata, dia mengaku dia membuat rakaman video itu. Seperti yang dilaporkan media semalam, video tersebut diviralkan oleh tunangnya. Akibatnya, Irma diberhentikan serta-merta.

“Tolong betulkan balik ye. Saya cikgu praktikal, saya yang rekod. Cikgu itu (dalam video viral) cikgu tetap. Saya yang diberhentikan, bukan cikgu (tetap) itu.

“Saya rekod untuk video pembelajaran sebenarnya. Kena bagi kepada pensyarah sebab saya praktikal. Masa kejadian itu, saya tak perasan. Dah habis baru perasan dan betul saya dibuang (diberhentikan),” katanya.

Kronologi kejadian sebenar jika mengikut susunannya: 

Video viral berdurasi 10 saat itu dirakam oleh guru praktikal bagi tujuan laporan untuk dihantar kepada pihak universiti.

Dan dikatakan guru praktikal itu tidak menyedari kejadian itu turut dirakam lensanya.

Adegan kekasaran yang berlaku kepada murid lelaki itu disedari oleh tunang kepada guru praktikal berkenaan yang kemudian bertindak memuat naik klip video pendek itu di media sosial dan seterusnya viral sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ibu kepada murid yang dikasari juga telah membuat laporan polis. Bertindak di atas laporan itu, polis telah memanggil guru wanita terbabit untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, menurut satu sumber, guru wanita itu menafikan dakwaan tersebut.

Polis kini sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak.

Bapa kepada salah seorang murid yang dihantar ke pusat pendidikan tersebut (cawangan lain), Sheikh Al Fariq berjumpa dengan pihak pengetua untuk meminta penjelasan. Pengetua wanita itu menjelaskan, tindakan telah diambil termasuk membuat laporan polis.

“Cikgu itu akan diambil tindakan sewajarnya dan akan diberhentikan kerja serta-merta dan report polis telah dibuat,” tulisnya tetapi tidak menyatakan sama ada guru tetap atau guru praktikal yang diberhentikan.

Guru tersebut dibebaskan dengan jaminan polis

Terbaru, polis telah mengambil keterangan daripada seorang guru wanita yang tular dalam kejadian di sebuah tadika di Jalan Kebun di Shah Alam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, keterangan dilakukan semalam oleh wanita berusia 22 tahun itu bagi melengkapkan siasatan selepas laporan dibuat oleh ibu kepada kanak-kanak tersebut.

“Siasatan turut mendapati wanita itu merupakan guru tetap dan bukan praktikal. Dia telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu,media melaporkan tindakan tidak berperikemanusian seorang guru praktikal mencampak seorang kanak-kanak di sebuah tadika di Klang, tular semalam.

Menerusi video berdurasi 10 saat itu jelas memaparkan kanak-kanak berseragam tadika itu terlebih dahulu ditolak sebelum dilempar dan dimarahi guru wanita itu.

Insiden dipercayai berlaku semalam itu diperhatikan murid-murid taska tersebut yang seakan terkejut dengan perbuatan itu.

Orang ramai masih menunggu keputusan siasatan pihak polis berhubung kes tersebut.

Rata-rata berharap guru wanita itu dikenakan tindakan kerana perbuatannya bukan sahaja tidak boleh diterima, tetapi juga memalukan imej guru.