“Saya ada tengok video mereka.” Isu Dakwaan Sugu Pavithra Minta RM10 Ribu, Ini Komen Chef Wan

Beberapa hari lepas, tular dakwaan mengenai YouTuber popular, Sugu Pavithra meletakkan harga RM10,000 kepada pengacara Anim Ezati Rizki untuk program masakan selama satu jam. Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang Anim yang mengatakan harga seperti taraf Chef Wan.

Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan berkata sekiranya Sugu Pavithra membuat keputusan untuk meletakkan harga tersebut bagi perkhidmatannya itu adalah rezeki mereka.

“Mungkin itu rezeki mereka. Tak apalah masing-masing punya bahagian.

“Kalau merasakan bahawa harga yang ditetapkan terlalu tinggi dan dia merupakan tukang masak yang sedang melonjak naik, kedua-dua pihak boleh berunding tentang harga tersebut agar adil,” katanya kepada Astro Gempak.

Chef Wan mengaku ada menonton video pasangan itu di laman Youtube dan berkata pasangan itu ternyata berjaya menambat hati orang ramai dengan kepetahannya berturut dalam bahasa Melayu dan pasangan itu sepatutnya disanjungi.

“Saya ada menonton video pasangan ini. Mereka mendapat tempat di hati ramai orang disebabkan kepetahan dia berbahasa Melayu dan cara masakan dia yang bersahaja.

“Dia juga berani dan sangat bangga untuk menonjolkan resepi serta bakat yang ada. Jadi, saya rasa mereka patut disanjungi,” katanya.

Terdahulu Sugu Pavithra telah menafikan dakwaan pihaknya menetapkan bayaran yang tinggi sehingga mencecah RM10,000 bagi program masakan selama satu jam seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Menurut suami Pavithra, M. Sugu, 29, dia dan isterinya sebolehnya tidak mahu terlibat dengan sebarang program rancangan masakan di televisyen.

“Sekarang ini kami tidak henti-henti menerima permintaan daripada orang untuk menemu bual dan tawaran untuk buat program masakan. Sebenarnya, kami tidak mempunyai pihak pengurusan untuk uruskan. Semuanya diuruskan sendiri.

“Jadi, jadual kami memang padat. Kami tidak mempunyai masa yang banyak selain perlu menguruskan keluarga. Jadi, apabila pihak berkenaan seperti mendesak mahu kami lakukan, saya terus cakap harga sebegitu.”