[VIDEO] Ayah & Ibu Koperal Safwan Mengalir Air Mata Sebak Terima Kenaikan Pangkat Sarjan

Sebelum ini, berita pemergian Allahyarham Koperal Safwan ketika menjalankan tugas mendapat liputan meluas dan meruntum jiwa orang ramai.

Majlis penganugerahan pangkat kepada Allahyarham Koperal Safwan

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), satu posting menyentuh jiwa mengenai Allahyarham dimuat naik.

Suasana pilu menyelubungi majlis penganugerahan pangkat buat Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail di Tanjung Rambutan, Perak semalam.

Ibu bapa Allahyarham menitiskan air mata

Ibu bapa Allahyarham, Encik Muhammad Ismail Othman dan Puan Norizan Mat Sani dilihat sempat menitiskan air mata sebak tatkala menerima anugerah pangkat anakanda tercinta.

Allahyarham Koperal Safwan menjadi korban pemandu mabuk dalam satu kemalangan ketika menyertai operasi sekatan jalan raya pada awal bulan lepas.

Penghargaan buat wira negara

Anak harapan hilang sekelip mata kerana kecuaian orang lain

“Perkhabaran duka yang diterima pada hening pagi 3 Mei 2020, begitu merobek hati pasangan suami isteri, Encik Mohamad Ismail Othman dan Puan Noriza Mat Sani”.

“Anak yang selama ini menjadi harapan dan tulang belakang keluarga, hilang sekelip mata tanpa sempat ucap perpisahan buat ayahanda serta bonda tercinta”.

Redha dengan pemergian anak yang berjihad untuk negara

“Tidak pernah sesekali menyalahkan takdir, malah mereka redha dengan pemergian anakanda ketika berjihad untuk negara”.

“Namun, perasaan kedua pasangan itu sedikit kecewa kerana nyawa Koperal Safwan diragut oleh tangan si pemabuk tidak berguna”.

Parah dirempuh ketika menjalankan tugas

“Allahyarham Koperal Safwan terkorban selepas mengalami kecederaan parah dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki mabuk”.

“Allahyarham ketika itu menjalankan tugas sekatan jalan raya Op COVID-19 berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), jam 2 pagi, 3 Mei lalu”.

Seorang anggota polis yang ikhlas jalankan tanggungjawab

“Sesungguhnya beliau hanya seorang anggota polis biasa yang ikhlas menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat”.

“Namun kematian anak muda berusia 31 tahun itu diangkat begitu mulia di sisi Sang Pencipta”.

“Bukan sahaja keluarga, malah seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakyat Malaysia turut bersedih dengan tragedi yang menimpa wira negara itu”.

Ibu bapa Allahyarham terima kenaikan pangkat

“Sebagai tanda penghargaan negara dan PDRM terhadap jasa serta pengorbanan Allahyarham Koperal Safwan semasa hayatnya, satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna telah diadakan di Dewan Mes Pegawai Kanan, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), hari ini”.

Suasana majlis menjadi sebak dan pilu

“Encik Mohamad Ismail dan Puan Noriza yang diberi penghormatan tersebut ternyata sebak apabila dijemput oleh pengacara majlis untuk naik ke pentas”.

“Untuk menerima pangkat Sarjan “posthumous” secara medan yang disampaikan sendiri oleh Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dato’ Seri Hamzah Zainudin”.

“Perasaan sayu dan pilu itu turut dirasai oleh para hadirin yang nyata masih bersedih dengan peristiwa menimpa Allahyarham”.

Turut menerima sumbangan dari warga PDRM

“Selain menerima kelengkapan seragam Anggota Pangkat Rendah berupa sebatang tongkat, selempang dan pangkat Sarjan yang diletakkan dalam bingkai gambar, kedua pasangan turut menerima skim ex-gratia bencana kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan faedah terbitan buat arwah anak mereka”.

“Turut disampaikan ialah sumbangan daripada warga PDRM sendiri yang dikelolakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman sebagai keperluan buat ahli keluarga Allahyarham”.

Wira barisan hadapan negara

“Allahyarham dikenang sebagai antara wira barisan hadapan negara yang terlibat secara langsung dalam tugas sekatan jalan raya sempena Op COVID-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu”.

“Pada hari Jumaat penuh kemuliaan dan keberkatan ini, marilah sama-sama kita mendoakan sekali agar roh Allahyarham Sarjan 171555 Safwan Mohamad Ismail dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada. Al-Fatihah”.

Semoga keluarga Allahyarham Sarjan Safwan Mohamad Ismail tabah dan sabar dengan kehilangan ini.