Minat mendalam terhadap dunia penternakan haiwan membuatkan seorang belia dari Felda Chini 2 di sini sanggup menolak tawaran bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas.

Mohd Faiz Ikhwan Salleh, 27, berkata, beliau menolak tawaran tersebut kerana mahu terus menternak pelbagai haiwan di ladang kelapa sawit peninggalan arwah bapanya.

Menurutnya, beliau kini boleh berbangga dengan pilihannya itu kerana mampu memperoleh pendapatan yang lumayan walaupun hanya bekerja sendiri.

Siswazah dalam bidang kejuruteraan mekanikal itu berkata, beliau membeli sedikit demi sedikit haiwan ternakan berkenaan bermula pada tahun 2018 dan kini memiliki 14 ekor lembu, 25 ekor kambing, 80 ekor itik daging dan 120 ekor itik telur.

“Idea untuk memulakan aktiviti penternakan ini bermula pada tahun 2016 apabila keluarga meminta saya menjaga ayah yang sakit, jadi saya ambil keputusan berhenti kerja di sebuah syarikat perladangan.

“Oleh sebab tiada pekerjaan dan tidak begitu sibuk menjaga ayah saya ketika itu, saya nekad memulakan aktiviti penternakan ini dengan modal keseluruhan kira-kira RM5,000 untuk membeli haiwan ternakan dan mendirikan kandang,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Faiz berkata, kebanyakan pelanggannya adalah penduduk di kawasan Chini yang biasanya mahu membeli itik daging dan telur itik.

Menurutnya, seekor itik daging dijual pada harga RM50 seekor, manakala sebiji telur itik dan telur itik yang sudah diproses menjadi telur masin dijual pada harga masing-masing 70 sen dan RM1 sebiji.

“Ternakan matang lain pula dijual secara berkala antara RM3,000 hingga RM3,500 seekor untuk lembu dan RM1,000 sehingga RM1,800 untuk kambing,” katanya.

“Bagi menambah baik dan memaksimumkan hasil pendapatan, saya sentiasa memikirkan bagaimana untuk menurunkan kos operasi harian,” katanya.

Beliau berkata, selain mencampurkan makanan palet dan membiarkan ternakan lembu dan kambing meragut rumput, beliau turut membeli dan merebus beras hancur untuk diberikan kepada itik daging.

“Ia menjadikan kos keseluruhan bagi makanan palet untuk semua ternakan kira-kira RM40 sehari.

“Selain itu, untuk menjimatkan kos, saya menggunakan kayu yang diambil dari kawasan berdekatan bagi membina dan memperbaiki kandang dan pagar,” katanya.


Mohd Faiz yang telah beberapa kali mengikuti kursus berkai-tan penternakan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar berkata, beliau juga bersedia memberikan panduan dan tip kepada golongan belia terutama di kawasan Chini yang ingin mencuba aktiviti penternakan.

"Your favorite story, whatever it might be, was written for one reader." Brian Bloom, 5 to 7.