“Kalau adik ore mati, ore g p*ncung belako” Anak Pengasas Dnars Didakwa Ugut Mahu Bunuh Bapa Tiri?

Pada hari ini, anak lelaki pengasas kosmetik Dnars Skincare didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas pertuduhan mengugut bapa tirinya melalui WhatsApp.

Mohamed Aqbar Hakim mengaku tidak bersalah

Mohamed Aqbar Hakim Jasman, 20, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S Mageswary.

Difahamkan, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 43, dengan ugutan hendak menyebabkan kematian.

Ugutan dihantar melalui WhatsApp

Ugutan iaitu dengan menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp dibaca: “Papa ingat deh kalau adik ore mati, ore g pancung belako”.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur pada 8.45 malam, 15 Jun lalu.

Penjara maksimum tujuh tahun dan denda

Kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Anak guam saya merupakan pengarah tiga buah syarikat

Walaubagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin memohon jaminan dibenarkan antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah dan tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri.

“Anak guam saya merupakan pengarah bagi tiga buah syarikat dan urusan perniagaan ini adalah bersama pengadu yang merupakan bapa tirinya,” lapor Harian Metro.

7 Ogos sebutan kes

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan menetapkan 7 Ogos untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Terdahulu, pada 18 Mei 2019 pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Thailand.