“Demo tak beranok lagi” Dipertikaikan Nasihat Kerana Belum Menjadi Ibu, Dr.Amalina Jawab Dalam Loghat Kelantan

Nama Dr. Amalina Che Bakri pasti dikenali ramai kerana banyak menyumbang dalam meberikan informasi berkaitan kesihatan di laman sosial.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai pakar bedah di United Kingdom (UK), pernah membantu mendapatkan rawatan bagi adik Ainul Mardhiah sehingga kini sembuh.

Walaupun sibuk dengan tugas harian, populariti Dr Amalina di media sosial tidak dapat disangkal lagi apabila sering mendapat perhatian dengan pelbagai soalan yang diajukan oleh netizen.

Namun, tidak kurang juga yang membidas beliau kerana jawapan atau pendapat yang diberikan ada yang bertentangan dengan kefahaman mereka seperti individu ini.

”Orang macam Dr ni tunggu lepas beranak dan umur masuk 40-an nanti keceklah.. kecek loni mugo demo tak beranok lagi.. tak keno ko demo, demo kato belako,” tulis individu tersebut.

Tampil membidas, doktor kelahiran Kota Bharu, Kelantan, ini turut menggunakan ‘slang’ yang sama sehingga meraih 21.7 ribu tanda suka dan 17.5 ribu ulang kicau di Twitter, hanya dalam tempoh beberapa jam dimuat naik.

Beghat kalo ikut caro demo pikir

Difahamkan, isu berkenaan adalah mengenai petua berpantang dalam masyarakat Melayu menggunakan cara tradisional dan ada di antaranya yang tidak munasabah untuk diikuti.

Tetapi, ada yang tidak bersetuju dan menyelar beliau kerana dilihat cuba menunjuk pandai sedangkan belum berumah tangga dan melahirkan anak, sedangkan pada hakikatnya beliau lebih arif kerana merupakan pakar dalam bidang perubatan.

“Saya nak tanya, siapa yang ajar urat jadi kembang, rahim jadi kembang lepas minum air sejuk ni….rahim tu macam sponge ka boleh serap air senang-senang?

“Berleluasa sangat dah ajaran ni… parah. Oh my biology!”

Perkongsian tersebut turut menarik perhatian netizen di Twitter yang rata-ratanya terhibur dengan tweet Dr. Amalina kerana sebelum itu dilihat sering menulis di dalam bahasa formal.