[REVIEW] Parasite(2019), Pemenang Anugerah Palme d’Or 2019 Film Festival

Kami datang ke pawagam untuk menonton filem Parasite ini dengan expectations yang tinggi memandangkan filem ini baru memenangi anugerah Palme d’Or di Festival Filem Cannes.

Anugerah Palme d’Or adalah antara anugerah paling berprestij dalam industri perfileman.  Dan apabila habis je menonton filem ini, kami memang setuju dengan anugerah itu. Ia sebuah filem yang begitu hebat!

Sinopsis Parasite

Mengisahkan keluarga Kim yang miskin yang terdiri dari seorang ayah bernama Ki-taek (Song Kang-ho), isterinya Chung Sook (Jang Hye-jin), anak lelakinya Ki-woo (Choi Woo-shik) dan anak perempuannya Ki-jung (Park So-dam). Mereka tinggal di rumah separa bawah tanah di sebuah penempatan miskin. Tiada pekerjaan tetap dan hanya mengambil upah melipat kotak piza. WiFi pun curi dari jiran.

(sumber imdb)

Nasib mereka berubah apabila seorang rakan Ki-woo meminta menggantikannya menjadi tutor bahasa Inggeris kepada seorang anak perempuan dari sebuah keluarga yang kaya iaitu keluarga Park. Dengan bantuan Ki-jung yang mahir dalam bidang graphic design, Ki-woo telah membuat beberapa dokumen universiti palsu untuk meyakinkan keluarga Park untuk mengambilnya bekerja sebagai tutor.

(sumber imdb)

Setelah diterima bekerja, Ki-woo kemudian menghidu satu lagi peluang apabila mengetahui keluarga Park memerlukan seorang lagi tutor untuk mengajar anak lelaki mereka dalam bidang seni. Dia mencadangkan Ki-jung yang menyamar sebagai Jessica dari Universiti Illinois dan berpura-pura tidak saling mengenali. Dari sini, mulalah rancangan Ki-woo untuk “memasukkan “ satu persatu ahli keluarganya dalam rumah keluarga Park. Dan seperti tajuk filem ini, keluarga Kim kini menjadi seperti parasit yang melingkar pada keluarga Park.

Dark Comedy Bijak!

Ini adalah sebuah filem dark comedy yang sangat bijak dari pengarahnya, Bong Joon-ho. Filem ini bijak bermain dengan emosi anda. Perjalanan filem ini seperti menaiki rollercoster. Gelak, sedih , geram semua ada. Kami sekejap tergelak dengan gelagat keluarga Kim ini, sekejap akan merasa debar menunggu babak seterusnya, malah kami juga merasa kesian dengan keluarga Park yang dipergunakan.

(sumber imdb)

Pacing filem ini juga sangat baik. Untuk filem yang bukan dikategorikan dalam filem aksi , kami tidak berasa bosan walaupun sebenarnya filem ini berdurasi lebih 2 jam. Rasa tak senang duduk menanti babak seterusnya. Pada mulanya, anda akan disajikan dengan komedi dan drama. Kemudian, sedikit demi sedikit akan dibawa ke sisi yang lebih gelap. Sukar meramal apa yang akan terjadi seterusnya.

Bukan Filem Tipikal

Walaupun bertema sosioekonomi, ini bukan filem tipikal yang miskin melawan yang kaya. Keluarga Kim tidak kelihatan begitu jahat. Mereka hanya ingin mendapat pekerjaan dan secara teknikalnya, mereka memang bekerja dengan keluarga Park (walaupun cara mendapat kerja salah).

(sumber imdb)

Selain penceritaan yang menarik, filem ini dibantu oleh barisan lakonan yang mantap. Watak Ki-taek misalnya, berjaya dibawa dengan baik oleh Song Kang-ho dengan membawa watak seorang ayah yang komikal kepada lebih beremosi.

Muzik latar juga mengagumkan. Ini bukanlah cerita seram tetapi bunyi violin contohnya berjaya menambahkan lagi elemen suspens dan thriller filem ini.

Karya Digarap Baik

Kami sangat mengesyorkan anda menonton filem ini. Sebuah karya yang digarap dengan baik.

Plot memang tidak dapat diduga sejak awal. Sebuah filem yang berada di kelas tersendiri.

Tayangan di Malaysia: 15 Ogos 2019

Durasi: 132 minit

Bahasa: Korea

Rating YOY: 9/10