[REVIEW] Dora And The Lost City Of Gold (2019)

Can you say delicioso? Tanya Dora semasa awal babak filem ini. Salah seorang admin Yoy Network yang memang peminat Dora dan beberapa orang lagi yang menonton bersama kami pun menyebut “delicioso”.

Masakan tidak kerana siri kartun Dora The Explorer telah wujud sejak 19 tahun lepas telah mengumpul peminat tersendiri tidak kira besar atau kecil.

Dalam siri kartun, Dora berumur 7 tahun tapi dalam filem live-action ini lebih fokus kepada Dora yang berusia 16 tahun.

Filem bermula dengan Dora (Madelyn Miranda) yang tinggal dan membesar di dalam hutan oleh ibubapanya (Eva Longoria dan Michael Pena) yang merupakan profesor dalam bidang arkeologi.

Dora sering bersama sepupunya Diego (Malachi Barton) dan seekor monyet bernama Boots (suara oleh Danny Trejo), mereka selalu bermain bersama ditemani imaginasi mereka.

Tak lama kemudian, Diego telah berpindah ke bandar meninggalkan Dora.

(sumber Paramount Pictures)

Fast forward 10 tahun kemudian, Dora (Isabela Moner)  yang kini berusia 16 tahun harus menempuh cabaran baru apabila ibubapanya menyuruhnya berpindah ke bandar untuk belajar bersosial.

Ibu bapanya pula akan ke Peru untuk menjejaki sebuah bandar Inca yang hilang digelar Parapata dan tidak mahu Dora ikut sekali kerana beranggapan Dora belum bersedia untuk pengembaraan sebenar.

Dora kini tinggal bersama keluarga Diego (Jeff Wahlberg) dan neneknya di Los Angeles. Bayangkan seorang remaja yang hanya berkawan dengan seekor monyet dan haiwan lain selama ini perlu menyesuaikan diri dengan suasana baru.

Di sekolah ini, dia bertemu dengan remaja lain seperti Sammy (Madeleine Madden), seorang ketua pelajar yang merasa terancam dengan kehadiran Dora yang bijak dan seorang geek bernama Randy (Nicholas Coombe).

Namun pengembaraan Dora yang sebenar bermula apabila dia dan rakan-rakanya diculik oleh penjahat yang cuba menggunakan Dora untuk menjejaki ibubapanya dan mencuri semua emas dan harta yang ada di Parapata.

Dapatkah Dora dan rakan-rakannya melepaskan diri dan menyelamatkan ibubapanya?

Ini adalah filem untuk kanak-kanak dan peminatnya sendiri. Ceritanya simple sahaja, ada plot twist tapi agak predictable.

Boleh dikatakan ini adalah filem Indiana Jones ataupun Lara Croft versi budak. Filem ini juga agak lucu, walaupun dipenuhi dengan lawak slapstick. Humornya agak ringan tapi masih boleh membuat korang ketawa. Sebuah filem yang boleh ditonton seisi keluarga.

Kami suka watak Dora yang digambarkan dalam filem ini. Dia seorang yang naif, tersangatlah positif dan suka menyanyi walaupun dalam keadaan bahaya.

Hinggakan ada satu masa, Dora menyanyikan lagu untuk membantu Sammy berak di dalam hutan. Kanak-kanak (dan makbapak budak) yang ada dalam pawagam boleh ikut menyanyi sekali ikut Dora.

(sumber Paramount Pictures)

Pun begitu, kami rasakan pemilihan pelakon remaja selain Isabela Moner agak ‘kureng’, bukan dari segi lakonan tapi dari segi rupa. Bukanlah perkara baru untuk pelakon melakonkan watak lebih muda dari usia sebenar mereka.

Tapi pelakon remaja [Isabela Moner (18 tahun), Jeff Wahlberg (23 tahun), Nicholas Coombe (24 tahun), Madeleine Madden (22 tahun)] dalam filem ini kelihatan lebih dewasa dan tidak padan berbanding watak remaja 16 tahun yang dilakonkan mereka.

 

Ya, kami tahu ini filem berdasarkan cerita kartun. Namun ada satu perkara yang agak pelik. Watak Swiper (suara oleh Benicio del Toro) iaitu seekor musang yang suka mencuri, berjalan atas 2 kaki dan boleh bercakap dan ini dianggap normal.

Tetapi apabila Boots bercakap, itu dianggap hanya imaginasi Dora. Tiada babak langsung menerangkan bagaimana Swiper boleh berbuat demikian dan bersembang dengan penjahat lain seperti biasa tanpa siapa mempersoalkannya.

(sumber Paramount Pictures)

Kami sarankan korang bawa anak-anak korang terutamanya jika mereka peminat Dora The Explorer. Ini adalah filem yang menyeronokkan bagi mereka tambahan lagi sempena cuti sekolah.

Bagi yang tidak pernah menonton sebarang episod Dora the Explorer sebelum ini, korang tak perlu untuk letakkan diri korang dalam pemikiran seorang kanak-kanak untuk menikmati filem ini. Tapi sebelum pergi menonton filem Dora ini, kami cadangkan tengok Boboiboy 2 terlebih dahulu.

Tarikh Tayangan di Malaysia : 8 Ogos 2019

Durasi : 105 minit

Rating YOY : 7/10