[REVIEW] Ready or Not (2019)

 

Bila seseorang yang berkahwin dan ingin masuk dalam keluarga, kebiasaannya kita akan berusaha mengambil hati keluarga mertua.

Tambah-tambah lagi pada malam pertama!

Ini kan pula bila anda datang dari latar belakang biasa dan berkahwin dengan keluarga yang jauh lebih kaya (dalam filem ini, terlampau kaya).

 

Itulah terjadi pada Grace (Samara Weaving), seorang anak yatim yang baru sahaja berkahwin dengan Alex Le Domas (Mark O’Brien). Alex datang dari keluarga Le Domas, sebuah keluarga yang tersangatlah kaya dan membina empayar dalam bidang pembuatan permainan.

 

Setelah majlis perkahwinan mereka selesai, Grace kemudiannya diajak bermain satu permainan bersama keluarga barunya pada tengah malam. Permainan ditentukan dengan memilih kad secara rawak dari sebuah kotak.

Malang bagi Grace apabila dia menarik kad Hide and Seek. Grace yang langsung tidak diterangkan peraturan permainan bersetuju untuk bermain (dengan harapan dapat mengambil hati keluarga mertuanya).

Cara bermain Hide and Seek oleh keluarga Le Domas ini lebih brutal di mana anda akan dibunuh jika anda gagal bersembunyi sehingga matahari terbit. Keluarga Le Domas pula perlu membunuh pengantin baru itu sebelum matahari terbit atau mereka akan terkena sumpahan syaitan yang dikata menjadi punca kekayaan mereka.

Jadi, bersedia atau tidak! Bermulalah permainan yang berdarah ini.

(sumber Twentieth Century Fox)

Ready Or Not adalah sebuah filem bergenre dark comedy. Komedinya kelakar walaupun ganas. Adegan ganasnya tidaklah seganas filem genre slasher yang lain seperti SAW. Tetapi cukup untuk merasa seramnya.

 

Ditonjolkan pada mulanya kebahagiaan antara Grace dan Alex yang baru berkahwin. Penonton tidak perlu mengambil masa yang lama untuk merasa suspens kerana dalam tempoh lebih kurang 10 minit sahaja, babak pemburuan sudah bermula.

Perjalanan cerita juga sangat baik. Seimbang antara babak komedi dan suspens. Sepanjang filem juga, penonton akan tertanya-tanya jika sumpahan syaitan itu benar atau sekadar mitos sahaja.

Anda juga boleh lihat perkembangan watak Grace bukan sahaja dari perwatakannya, namun juga dari baju perkahwinannya yang mulanya putih, lama kelamaan menjadi merah dengan darah.

(sumber Twentieth Century Fox )

Keluarga Le Domas bukanlah pembunuh atau pemburu profesional. Mereka hanya melakukan ritual ini hanya untuk menjaga tradisi keluarga dan mengelak sumpahan yang mereka sendiri tidak pasti sama ada benar-benar wujud atau tidak. Ada yang tidak tahu menggunakan senjata hingga perlu google cara-cara menggunakan busur.

 

Dan kepelbagaian watak dalam keluarga Le Domas inilah menjadikan filem ini lebih menarik. Watak bapanya Tony (Henry Czerny) dan mak saudaranya Helene (Nicky Guadagni) yang mementingkan tradisi keluarga, ibunya Becky (Andie MacDowell) yang sebenarnya sukakan Grace tapi terpaksa mengikut tradisi keluarga dan watak Emilie (Melanie Scrofano) yang teruja untuk membunuh tapi menembak pun tak pandai. Watak abang Alex, Daniel (Adam Brody) pula menyuntik sedikit emosi dalam filem ini.

 

Ending filem ini bagi kami memang terbaik. Di sini anda akan tahu kebenaran permainan dan sumpahan itu sendiri. Memang satu momen WTF bagi kami.

 

Kami syorkan anda menonton filem ini. Filem yang menyeronokkan walaupun ganas. It’s bloody entertaining. Dan kami berharap jika anda tidak berkahwin lagi, anda tidak dapat keluarga mertua seperti keluarga Le Domas. Lebih baik cuci 7 periuk belanga dari main permainan macam ini.

Tayangan di Malaysia: 22 Ogos 2019

Durasi: 95 minit

Rating YOY: 8/10